Seharusnya golongan muslimah faham dan redha di atas ketentuan Allah SWT ini. Ia adalah fitrah bagi seorang perempuan yang baligh.

Sebenarnya, banyak lagi amalan yang tidak dilarang boleh dilakukan oleh wanita ketika datang haid. Mana mungkin Allah mengabaikan kaum muslimah untuk mengumpul pahala seperti orang lain yang berpuasa. Jadi bagaimanakah caranya?

Pertama, tetap bangun bersahur meskipun tidak berpuasa. Dari Anas Bin Malik, Rasululullah SAW bersabda, “Bersahurlah, kerana di dalamnya terdapat keberkatan.” (Hadis riwayat Bukhari).

Kedua, perbanyakkan sedekah. Kita sedia tahu betapa hebatnya ganjaran yang Allah berikan kepada mereka yang suka bersedekah seperti mana sabda Rasulullah SAW: “Sedekah paling utama adalah sedekah di bulan Ramadan.”

Ketiga, berzikir. Berzikir adalah dibenarkan bagi wanita haid. Jangan melepaskan pahala yang telah dijanjikan Allah dalam bulan Ramadan dengan berkata perkara yang sia-sia. Sebaliknya banyakkan membaca zikir mutlak (pelaksanaannya tidak dibatasi oleh waktu, jumlah dan tatacara tertentu) dan zikir muqayyad (pelaksanaannya dibatasi oleh waktu, benda, jumlah bacaan dan tempat tertentu).

Keempat, beristighfar. Lazimi lidah kita dengan sentiasa beristiqfar terutamanya pada waktu sahur. Allah telah berfirman: “(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka. (Iaitu) orang-orang yang sabar, yang benar dan yang sentiasa taat, yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.” Surah Ali Imran, Ayat 16 hingga 17.

Kelima, membaca al-Quran. Terdapat perselisihan sama ada wanita haid dibenarkan atau tidak untuk membaca al-Quran. Namun, pendapat yang kuat daripada Imam Malik, Imam Syafi’i dan Iman Ahmad menyatakan bahawa wanita haid adalah dibenarkan untuk membaca al-Quran kerana tiada dalil yang mengharamkannya.

Keenam, menyediakan juadah berbuka bagi orang yang berpuasa. Dari Zaid bin Khalid Al-Juhani, Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa memberikan makanan untuk berbuka kepada yang berpuasa, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Ketujuh, keluar melihat solat hari raya dan mendengar khutbah raya. Ummu Athiyah berkata, “Kami disuruh mengajak keluar wanita haid pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, juga para gadis yang dikurung di dalam rumah. Mereka perlu menyaksikan kaum Muslimin dan doa mereka. Tetapi wanita haid perlu menjauhi tempat solat.” (Hadis riwayat Bukhari)

WANITA BERWAWASAN