Akibatnya aktiviti pertanian yang tidak mesra alam ini membawa kesan kepada pencemaran alam sekitar yang amat kritikal sehingga boleh menjejaskan potensi ekopelancongan dan pemeliharaan hutan di tanah tinggi itu.

Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands juga pernah menyuarakan mengenai tanah di kawasan itu tidak lagi sesuai untuk aktiviti pertanian.

Keadaan bertambah teruk apabila terdapat pembukaan tanah haram untuk pertanian di kawasan tanah rizab sungai.

 

Pihak aktivis Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera (GRASS Malaysia) telah turun padang untuk mengesahkan perkara ini.

Didapati sememangnya amalan pertanian tidak mesra alam diamalkan.

Selain daripada penggunaan racun serangga, tumbuhan pertanian dipaksa untuk membesar dengan pemasangan cahaya lampu pada waktu malam yang menyebabkan kualiti pertumbuhannya akan terjejas.

Pihak kami juga mendapati hampir keseluruhan sungai tercemar akibat daripada hakisan tanah dan bahan kimia daripada racun serangga yang di bawa masuk ke dalam sungai oleh air hujan.

Dalam menyelesaikan isu alam sekitar di Cameron Highlands, GRASS Malaysia menuntut kerjasama semua pihak untuk:

1. Memantau dan menghentikan serta-merta sebarang pembukaan tanah pertanian baharu.

2. Menghentikan serta-merta aktiviti pertanian yang sedang berjalan di tanah rizab sungai.

3. Menyediakan insentif khas untuk menggalakkan amalan pertanian mesra alam.

4. Memelihara kawasan hutan yang masih tidak disentuh oleh aktiviti penyahhutanan.

Faktor-faktor pencemaran alam sekitar di Cameron Highlands perlu diberi perhatian serius.

Sebagai sebuah kawasan yang kaya dengan sumber alam sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara, tanah tinggi itu perlulah dipelihara dan dibangunkan dengan seimbang dan terpelihara khazanahnya.

M. YUSAIMI MD. YUSOF

GRASS Malaysia