Operasi Bersepadu Khas dan Ops Gading telah dilaksanakan bagi mengekang penarahan bukit dan pembukaan kebun secara haram namun agak sukar untuk membasmi masalah ini sepenuhnya kerana peneroka tanah haram ini cukup licik dan tidak takut melanggar undang-undang. Kelemahan penguatkuasaan dan masalah rasuah juga didakwa antara punca mengapa penerokaan haram masih terus berlaku.

Saya cadangkan agar Cameron Highlands diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan dengan mengambil sedikit sebanyak seperti model Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah) di Sabah, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan beberapa agensi persekutuan lain berganding bahu bersama bagi memantau keadaan serta memastikan kerja-kerja pemuliharaan kawasan terjejas dapat dijalankan.

Difahamkan pihak ATM pada 2014 pernah bercadang untuk menempatkan pasukan komando daripada Rejimen 21 Gerup Gerak Khas (GGK) secara tetap di Cameron Highlands dengan menggunakan semula Kem Slim di Brinchang. Kehadiran ramai anggota pasukan keselamatan mampu mengembalikan semula keyakinan penduduk serta pihak NGO yang prihatin akan isu ini.

M. FAISAL

Kuala Lumpur