Orang Melayu tidak lupa jasa UMNO kerana tanpa parti keramat ini tidak ada doktor, peguam dan teknokrat Melayu mahupun Felda, Mara dan banyak lagi agensi yang membantu orang Melayu dan bumiputera dari ‘kosong’ sehingga menjadi profesor mahupun jutawan.

Hanya generasi muda dan pengundi atas pagar yang mungkin tidak pernah tahu bagaimana perjuangan UMNO dalam membantu orang Melayu kerana terpengaruh dengan pelbagai persepsi media sosial sehingga memilih Pakatan Harapan.

UMNO kalah perang siber kerana orang muda tidak membaca surat khabar, mereka hanya melihat maklumat dan pandangan dalam media sosial.

UMNO juga perlu berubah memilih kepimpinan tertinggi yang jujur, jangan pilih calon-calon seperti ADUN katak yang melompat ke sana sini bila Barisan Nasional (BN) kalah.

UMNO perlu pembaharuan pemimpin, hanya mahu jadi kaya masuk UMNO atau amal polisi penuh dengan skandal perlu dihindari ditambah pula sikap boros isteri pemimpin sangat mempengaruhi pandangan generasi muda dalam media sosial.

Walaupun saya bukan ahli UMNO tetapi saya melihat jasa UMNO kepada bangsa Melayu, saya bekerja sebagai profesional dan saya menyokong perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu.

Pada Perhimpunan Agung UMNO, pilihlah pemimpin yang merendah diri. Saya mencadangkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah memimpin UMNO bangkit dari kejatuhan BN kali ini kerana beliau seorang tokoh berwibawa dan banyak berjasa membangunkan ekonomi orang Melayu.

Dahulu beliau kalah bertanding jawatan Presiden Umno dengan Dr. Mahathir hanya 45 undi. Beliau adalah tokoh yang diperlukan UMNO sekarang untuk bangkit semula.

Perjuangan UMNO adalah demi memperkasakan dan membela orang Melayu di masa hadapan.

CHAERULSYAMSUDIN

Seremban, Negeri Sembilan