Banyak contoh sudah ada dan terbaharu apabila kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bertujuan mahu mengukuhkan ekonomi negara Uncle Sam itu telah disalah tafsirkan oleh pihak tertentu.

Hakikat kenyataan Najib di Amerika Syarikat (AS) itu bermaksud Malaysia tidak hanya menjadi penyumbang semata-mata tetapi turut meraih manfaat daripada hubungan perdagangan dengan AS. Maknanya, Najib hadir sebagai ketua negara yang boleh menjadi pemain global yang signifikan.

Namun, fakta positif itu telah diputarbelitkan oleh golongan tertentu untuk mengelirukan rakyat.

Benar, apa disebut Perdana Menteri pada Majlis Minum Petang anjuran Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (Pertama) di Kuala Lumpur baru-baru ini bahawa kita kini berdepan dengan apa yang diistilahkan sebagai fake news (berita palsu) melalui media alternatif yang banyak mempengaruhi rakyat khasnya golongan muda.

Justeru, beliau menggesa pengamal media agar pantas menangkis berita palsu yang memburukkan kerajaan seperti yang telah banyak tersebar di internet. Gesaan Najib itu wajar diberi perhatian serius oleh para wartawan media arus perdana yang dianggap sebagai barisan hadapan untuk menghadapi situasi itu.

Tidak dinafikan ia adalah cabaran besar buat pengamal media. Hal itu berlaku akibat kelemahan masyarakat hari ini yang tidak berhati-hati atau meneliti fakta berita yang ditularkan dalam media sosial. Ramai cenderung mempercayai berita palsu yang bertujuan menghasut rakyat membenci kerajaan.

Masyarakat perlu sedar berita palsu dihasilkan ‘wartawan’ dalam talian yang tidak berkredibiliti akan meninggalkan kesan buruk yang mengundang perpecahan dan permusuhan sesama bangsa.

Malah, cabaran lebih berat apabila penghasilan berita dan maklumat palsu ditulis secara kemas dan menarik serta mengandungi unsur-unsur logik dan disebarkan secara aktif melalui laman sosial media seperti Facebook sehingga dinilai begitu kredibel dan meyakinkan.

Kita bimbang jika trend itu berterusan, masyarakat akan terdedah kepada radikalisme sehingga boleh menghancurkan negara.

Isu seumpama itu sebenarnya bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan turut dihadapi di Eropah, AS dan beberapa negara lain di dunia. Sesetengah negara sudah pun melaksanakan undang-undang siber ketat dengan hukuman keras ke atas mana-mana individu yang melakukan penyebaran berita bohong dan fake news yang menimbulkan kebencian di media sosial.

Di Jerman misalnya, pihak berkuasa akan mendenda pengendali media sosial yang menyebarkan berita bohong dan melupuskannya dalam masa 24 jam. Untuk setiap berita bohong akan dikenakan denda hingga 500,000 euro.

Sementara itu, undang-undang siber di Eropah dan AS pula meletakkan tanggungjawab penyebaran berita bohong ke atas semua pihak terbabit termasuk penulis berita dan penyedia aplikasi media sosial berkenaan.

Pada hemat penulis, sudah sampai masanya undang-undang siber di negara kita turut melaksanakan hukuman yang lebih berat ke atas pengendali atau pengusaha media sosial yang gemar menyebarkan berita palsu, bohong dan berbaur hasutan.

MOHD. AYOP ABD. RAZID

Selayang Baru, Selangor