Antara perubahan yang berlaku adalah dari segi perkembangan fizikal, emosi dan pemikiran di mana mereka mula menunjukkan minat untuk berhubungan dengan rakan berlainan jantina dan semakin meningkat nafsu atau keinginan terutamanya dalam mencuba sesuatu yang baharu tetapi kebiasaanya tanpa menyelidik dengan teliti terlebih dahulu.

Zaman remaja juga menjadi satu perjalanan di mana pada asalnya mereka bergantung hampir sepenuhnya kepada pandangan atau pendapat ibu bapa sebelum mampu membuat keputusan sendiri.

Dalam tempoh ini, remaja bakal berhadapan dengan pelbagai risiko dan mudah terpengaruh dengan budaya sosial seperti penyalahgunaan dadah, zina, merokok dan sebagainya.

Suasana persekitaran pada era globalisasi kini juga boleh memberi kesan apabila media turut menyiarkan siaran yang boleh menyumbang kepada penglibatan remaja dalam aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral.

Selain itu, remaja kini banyak terdedah kepada dunia siber yang semakin berkembang pesat. Tidak dinafikan, internet mempunyai banyak manfaatnya tetapi keburukan akan datang seiring dengan manfaat yang sepatutnya diperolehi remaja apabila mereka tersilap menggunakannya.

Tambahan pula, tuntutan materialstik kehidupan moden juga satu cabaran bagi ibu bapa. Mereka memberikan tekanan kepada anak-anak remaja khususnya untuk memperolehi kejayaan cemerlang dalam akademik semata-mata sehingga mengabaikan aspek moral dan keagamaan.

Kekurangan dalam soal keagamaan bukanlah satu perkara yang kecil kerana ia boleh memberikan kesan besar sehingga menyebabkan berlakunya keruntuhan akhlak.

Kewujudan masalah sosial sebegini pasti akan merunsingkan ibu bapa. Oleh itu, tugas sebagai ibu bapa dan juga golongan pendidik kepada anak-anak remaja sekarang bukanlah sesuatu yang mudah seperti disangkakan.

Mereka perlu berdepan pelbagai cabaran di dalam memastikan anak-anak membesar dan diberikan pendidikan terbaik merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti akal, jasmani, rohani, akhlak dan sosial.

Kesimpulannya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam proses membentuk keperibadian anak-anak mereka walaupun perlu melalui banyak cabaran. Antara prinsip utama dalam kaedah mendidik dan menjaga anak iaitu membanteras semua gejala negatif yang membawa kepada keruntuhan akidah dan akhlak.

ANES ADILLA ABDULAH