DISEBABKAN serangan siber sistem perbankan, telekomunikasi dan tidak terkecuali kemudahan awam seperti sistem tenaga akan mengalami gangguan yang cukup dahsyat. GAMBAR HIASAN

Kini, bilangan telefon mudah alih berdaftar di Malaysia sudah mencecah 145 peratus daripada populasi penduduk di Malaysia. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan 69 peratus daripada jumlah populasi penduduk Malaysia menggunakan internet dengan 68 peratus daripadanya pengguna media sosial.

Keadaan ini secara tidak langsung telah mewujudkan komunikasi dalam talian dan penularan informasi secara besar-besaran yang tidak pernah dialami dalam zaman sebelum ini.

Kemunculan teknologi Perkomputeran Awan atau Cloud Computing yang menjimatkan kos dan digunakan secara meluas untuk menyimpan salinan data ditambah dengan fenomena Internet of Things dan Data Raya (Big Data) turut menyumbangkan kepada ledakan maklumat tanpa sempadan.

Sungguhpun begitu, ledakan maklumat ini juga menyumbang kepada pelbagai risiko yang melibatkan data peribadi dan keselamatan. Malah keaslian dan ketepatan informasi di ruang maya ini turut boleh dipertikai.

Dari segi sektor pembuatan dan perkilangan pula, kedua-dua sektor ini terpaksa mengoptimumkan penggunaan komputer bagi mengautomasikan kebanyakan proses dalam sektor itu bagi membolehkan pengeluaran produk secara besar-besaran di samping mengurangkan kos pengeluaran supaya kekal kompetitif dalam bidang masing-masing.

Sektor perbankan juga mengikut acuan sama dalam usaha menyediakan perkhidmatan yang cekap dan kompetitif kepada pelanggan. Bagaimanapun kebergantungan terhadap komputer telah mengakibatkan kemunculan jenayah siber secara besar-besaran yang bertindak memanipulasikan data bagi mencapai objektif mereka.

Ini menyebabkan keselamatan siber menjadi sesuatu isu yang perlu diambil perhatian berat. Keselamatan negara juga berada dalam risiko yang amat tinggi sekiranya langkah-langkah menjaga keselamatan dari segala ancaman siber tidak diperkukuhkan.

Realitinya, peperangan siber akan menjadi peperangan alaf baharu. Disebabkan serangan ini sistem perbankan, telekomunikasi dan tidak terkecuali kemudahan awam seperti sistem tenaga mengalami gangguan yang cukup dahsyat. Akhirnya negara boleh menjadi lumpuh.

Antara serangan siber terkini adalah serangan perisian tebusan WannaCry yang bertindak menyerang sistem yang menggunakan sistem pengendalian Microsoft Windows dengan cara penyulitan data dan kemudian meminta wang tebusan bagi pemilik data tersebut bagi mendapatkan kembali data kepunyaan mereka.

Sehubungan itu, kerajaan perlu bersiap-sedia memperlengkapkan benteng pertahanan negara dengan keselamatan siber. Ini kerana peperangan siber kini menjadi ancaman yang perlu ditangani dengan serius. Undang-undang yang merangkumi pelbagai aspek perlu digubal secepat mungkin bagi membolehkan tindakan pantas dapat diambil bagi menghalang perlakuan jenayah siber oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, penubuhan Agensi Keselamatan Siber Negara (NCSA) yang diletakkan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri dengan mengguna pakai undang-undang sedia ada termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998, Akta Fitnah 1957 dan Akta Hasutan 1948 adalah satu langkah yang bijaksana.

NCSA menjadi agensi tunggal dalam menyelaras semua agensi yang menguruskan ancaman keselamatan siber dengan meletakkan semua pakar keselamatan siber di bawah satu agensi induk. Dengan adanya koordinasi sebegini, keselamatan siber negara akan dapat dipantau dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

Selain itu, Malaysia juga perlu melatih modal insan yang mempunyai pengetahuan dalam bidang pemantauan keselamatan siber dengan memberikan segala bentuk pendedahan bermula dari peringkat sekolah lagi. Tujuannya untuk memupuk mereka menjadi tenaga mahir dalam bidang keselamatan siber.

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia sebagai universiti yang mempunyai niche dalam menyediakan graduan dalam bidang keselamatan pertahanan turut memainkan peranan aktif dalam menyediakan tenaga kerja mahir dalam bidang ini.

DR. NOOR AFIZA MAT RAZALI

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia