UMNO belum berkubur dan sedang mengumpul tenaga untuk bangkit. Musuh politiknya kini bukan lagi Pas tetapi Pakatan Harapan (PH). Justeru UMNO dan Pas menjalinkan kerjasama politik. Kedua-dua parti itu mempunyai matlamat perjuangan yang sama, iaitu memperjuangkan bangsa, agama dan tanah air. Walaupun kedua-duanya berusaha menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai agama rasmi negara, namun UMNO dan Pas tetap menghormati prinsip kebebasan beragama dan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hakikatnya, jika diteliti matlamat perjuangan UMNO dan Pas, tidak jauh bezanya. Ia umpama dua aliran sungai yang mengalir berasingan tetapi akhirnya bertemu di muara sama. Namun dalam sejarah politik tanah air, kedua-dua parti Melayu itu telah berseteru sekian lama atas sikap ketaksuban masing-masing. Itu kisah lama kedua-dua parti itu. Hari ini, kesan keruntuhan ‘tiang seri’ politik Melayu (UMNO) dalam PRU-14, ia bagaikan satu hikmah besar untuk kedua-dua parti politik Melayu itu kembali bertaut dan bekerjasama dengan penuh keinsafan tentang betapa pentingnya politik Melayu-Islam berdaulat di bumi Melayu ini.

Ramai yang melahirkan rasa syukur apabila UMNO dan Pas berbaik-baik dan sama-sama melupakan kisah silam.

Dalam usaha murni ini, UMNO dan Pas mesti sama-sama bertindak dengan penuh hikmah. Keputusan PRU-14 menjadi landasan permuafakatan UMNO-Pas itu demi mengembalikan semula kuasa Melayu-Islam dalam persada politik tanah air.

Kegagalan kerajaan PH menunaikan janji manifesto menjadi modal terbaik untuk pembangkang (UMNO-Pas) menarik kembali sokongan rakyat, terutamanya sokongan orang Melayu. Kini semangat UMNO-Pas untuk bekerjasama begitu tinggi bagi berdepan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau. Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di Semenyih menjadi satu isyarat jelas buat kerajaan PH bahawa kerjasama UMNO-Pas berupaya menggugat kedudukan PH. Penulis pasti UMNO-Pas akan terus menjadi pengkritik kerajaan yang berkesan sehingga menjelang PRU-15.

AYOP

Penganalisis politik bebas