Beberapa tahun lalu kecoh isu banyak universiti dan kolej swasta membawa masuk ribuan pelajar asing tetapi mereka hilang entah ke mana selepas melepasi sempadan negara kita.

Ketika itu, tindakan bersepadu diambil untuk menapis kelayakan permohonan pelajar asing malah mengesan pelajar yang hilang dari kolej swasta.

Selepas beberapa bulan isu tersebut reda, keadaan kembali seperti asal dengan kebanjiran pelajar asing baharu yang sekadar melepak di rumah sewa mereka dan pusat beli-belah.

Tidak pelik bila ada di antara ‘pelajar cemerlang’ ini ditahan kerana terlibat dengan jenayah khususnya mengganggu wanita tempatan mahupun sindiket Afican Scam malah menjadi dalang sindiket dadah, penipuan, samun dan pelacuran.

Sepanjang empat bulan pertama tahun ini, Jabatan Imigresen sudah menahan 58 pelajar warga asing yang tamat tempoh pas pelajar melibatkan 26 warga Bangladesh, lapan warga China, enam warga Nigeria, dua warga Libya dan selebihnya dari beberapa negara lain.

Negara ini sudah menjadi syurga bagi PATI termasuk pelajar dan graduan asing mencari pendapatan lebih tinggi berbanding di negara mereka sekalipun terpaksa bekerja secara haram dan dibayar secara tunai ‘di bawah meja’ malah lebih lumayan jika berani bekerja dalam dunia jenayah dan ‘ekonomi gelap’.

Sikap majikan tempatan yang mahu mengaut keuntungan mudah dengan menggaji PATI menjadi punca utama semakin ramai daripada pelajar asing ini enggan pulang malah semakin ramai PATI membanjiri negara ini.

Masalah ini semakin hari semakin teruk memandangkan Malaysia sebuah negara majmuk dan amat sukar untuk pihak berkuasa menjalankan operasi bersepadu kerana dikhuatiri menjadi isu besar jika tersilap menahan orang tempatan mahupun pelancong.

Sebelum ini kecoh bila seorang pemandu bukan Melayu yang tidak fasih bahasa kebangsaan telah ditahan polis tanpa MyKad. Dia disuruh menyanyikan lagu Negaraku bagi membuktikan kerakyatannya dan kejadian itu tular dalam media sosial.

Kejadian itu sudah cukup untuk menunjukkan betapa sukarnya operasi menapis PATI dalam kalangan orang awam kerana akan menjadi isu besar jika terkena warga tempatan yang tidak membawa dokumen pengenalan diri mahupun pelancong asing.

Bukan sesuatu yang mudah untuk menahan seseorang di tempat awam jika disyaki PATI khususnya dari China, India dan Indonesia malah amat berisiko jika individu tersebut adalah pelancong asing yang bercuti di negara ini.

Cara terbaik adalah dengan menapis pelajar asing sebelum mereka melepasi sempadan negara kita dan merekodkan pergerakan mereka di dalam kolej.

Pihak kolej atau universiti perlu memaklumkan kepada pihak berkuasa dengan segera jika ada pelajar asing tidak menghadiri kelas atau tidak dapat dikesan selama dua hari berturut-turut, bukan sahaja bagi memastikan mereka tidak menghilang diri malah dalam keadaan selamat.

Jabatan Imigresen juga disaran mengenakan hukuman lebih berat ke atas majikan yang menggaji PATI mahupun pemilik rumah yang menyewakan kediaman mereka kepada golongan PATI.

Masalah PATI di negara ini hanya dapat dikurangkan jika pihak berkuasa dapat menyekat sumber pendapatan dan tempat tinggal mereka.

Langkah ini akan memaksa mereka bekerja dalam dunia jenayah dan ‘ekonomi gelap’ tetapi kebiasaannya sebahagian besar daripadanya akan memilih untuk pulang ke negara sendiri atau pergi ke negara lain.

Saya berharap bukan sahaja graduan PATI menjadi sasaran operasi Jabatan Imigresen malah semua PATI lain yang semakin hari semakin ramai.

Buru mereka hingga ke lubang cacing dan bertindak ke atas warga tempatan yang menggaji atau melindungi golongan ini.

ABANG RICKY

Selayang, Selangor