Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua sekolah rendah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) mencari jalan bagi membantu murid supaya tidak lagi membawa terlampau banyak buku terutama buku tambahan sehingga berat beg mencecah lapan hingga 10 kilogram.

Mahdzir juga berkata, beliau sendiri akan melihat perkara itu dan mengkaji cara untuk mengatasinya bagi memastikan sistem pendidikan sekolah rendah mampu mendorong keseronokan murid untuk belajar tanpa perlu tertekan dengan buku tambahan.

Hakikatnya, isu beg sekolah berat bukan baharu kerana telah berulang kali dibangkitkan oleh ibu bapa. Buku tambahan yang dibeli di pasaran luar dikenal pasti faktor utama menyumbang keadaan itu. Persoalannya, kenapa pihak sekolah terus menggunakan buku tambahan? Tidakkah ini menambahkan beban tugas guru?

Antaranya, kerana ada pihak berpendapat latihan kerap dan mencukupi perlu dilakukan untuk membantu murid mengingat dan memahami pelajaran. Tidak dinafikan, kerja rumah dapat mengesan kelemahan murid agar proses pemulihan dan pengukuhan dilakukan. Inilah sebab ada pihak yang mahu murid dibekalkan dengan buku tambahan.

Sebenarnya, latihan bertulis boleh disediakan tanpa perlu murid menggunakan buku tam­bahan sekali gus dapat mengurang berat beg sekolah. Sebagai al­ter­­natif, pihak sekolah boleh me­­nyediakan lembaran kerja dengan mencetak sendiri atau menggunakan buku elektronik (e-buku).

Beberapa penyelesaian lain termasuk merancang jadual secara bijak bagi memini­mumkan bilangan subjek setiap hari agar bilangan buku teks, buku aktiviti dan buku tambahan yang dibawa dapat dikurangkan. Selain itu, buku-buku tertentu tidak perlu dibawa balik dan boleh ditinggalkan di sekolah.

Pihak sekolah hendaklah menyediakan lokar untuk setiap murid atau meja dilengkapi laci berkunci untuk menyimpan buku. Cuma satu persoalan yang harus difikirkan bersama, adakah amalan ini praktikal?

Terdapat beberapa cadangan lain yang boleh diteliti pihak kementerian termasuk membahagikan buku teks dan buku aktiviti kepada banyak jilid. Misalnya, kedua-dua jenis buku itu bagi subjek Matematik untuk tahun satu kini mempunyai dua jilid. Mungkin boleh ditambah jilid berkenaan kepada empat jilid bagi mata pelajaran itu dan subjek lain.

Apabila murid memulakan sesi persekolahan atau selepas cuti pertengahan penggal satu, per­tengahan tahun dan per­­tengahan peng­gal dua, murid boleh membawa buku mata pelajaran sama tetapi dengan jilid baharu yang sudah tentu lebih nipis.

Saya juga bersetuju dengan kenyataan Mahdzir bahawa pendidikan sekolah rendah tidak seharusnya berorientasikan peperiksaan, jadi tak perlulah buku tambahan. Falsafah pendidikan kita mahu meningkatkan potensi individu murid dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tak ada disebut pun mengenai ujian.

Oleh itu, pelbagai langkah perlu dibuat supaya budaya ibu bapa ‘terdesak’ mahukan anak-anak cemerlang dalam peperiksaan di peringkat sekolah rendah dihapuskan.

Terdapat banyak sebab ibu bapa mempunyai mentaliti ini termasuk pengaruh media massa yang sering menyiarkan senarai nama sekolah dan murid cemerlang selepas keputusan peperiksaan awam diumumkan dengan pujian dan san­jungan daripada pelbagai pihak.

Desakan ibu bapa mendorong guru-guru berusaha meningkatkan prestasi murid walaupun terpaksa menggunakan buku tambahan.

 

ZIN MARKAM

Pontian, Johor