Model ekonomi Malaysia juga cuba diteladani oleh Arab Saudi. Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah memberikan semakan menaik terhadap ekonomi Malaysia. Tiga kali rating Malaysia dinaikkan dan pendekatan ekonomi negara ini diberi pujian oleh institusi antarabangsa yang lain. Ini bermakna, pendekatan ekonomi Malaysia berada di landasan betul dan mahu diteladani negara lain.

Arab Saudi meniru cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dari Malaysia. Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula mengikut cara Arab Saudi dan sudah memperkenalkan GST mulai Januari 2018.

Arab Saudi dan UAE bergantung 90 peratus hasilnya kepada minyak dan dengan adanya GST, kebergantungan terhadap hasil minyak dapat diminimumkan. Beberapa negara lain juga akan mula memperkenalkan GST iaitu Bahrain, Kuwait, Oman dan Qatar.

Ada dengar berita di negara berkenaan rakyat berdemonstrasi? Turun ke jalanan membantah dan meminta agar GST dihapuskan? Tidak ada, kerana apa yang dibuat kerajaan negara itu adalah untuk menjamin pertumbuhan ekonomi terus berlaku dan rakyat mendapat peluang pekerjaan.

Apa guna harga minyak murah seperti Venezuela, tetapi rakyatnya tiada pekerjaan? Itulah yang berlaku di Iran dan Mesir, orang turun ke jalan raya bila tiada pekerjaan. Orang sanggup bakar diri sendiri seperti di Tunisia bila peluang kerja tiada. Tidak sama keadaan ekonomi negara yang bergolak ini dengan Malaysia.

Oleh itu, cubaan membuat demonstrasi di pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur pada malam tahun baharu disambut sepi oleh rakyat Malaysia. Orang ramai lebih suka melayan percikan bunga api dan bersama-sama keluarga pada malam tahun baharu. Sanggup bersesak dalam jammed demi berhibur bersama-sama keluarga.

Hanya pembangkang di negara ini yang suka mengada-adakan cerita karut tentang ekonomi Malaysia. Dulu sudah beberapa kali mereka menyatakan ekonomi kita hendak bankrap dan Malaysia akan menjadi negara gagal, tetapi tidak menjadi juga tekaan mereka. Kali ini, mereka cuba menakutkan rakyat pula dengan membuat cerita kononnya Malaysia akan tergadai kerana projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Mengaitkan projek ECRL dengan pelaburan Hambantota di Sri Lanka. Perbandingan yang jauh meleset sama sekali. Jauh berbeza ekonomi Malaysia dengan Sri Lanka.

Kerajaan Sri Lanka terjerumus dalam perangkap hutang kerana mempunyai nisbah hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setinggi 86.9 peratus. Jauh berbeza kerana hutang Malaysia hanya 50.7 peratus sahaja. Lebih buruk lagi, 43 peratus daripada hutang Sri Lanka didenominasikan dalam mata wang asing berbanding hanya 2.5 peratus untuk Malaysia. Rizab Sri Lanka juga rendah pada kadar AS$5.12 bilion pada Mac 2017 berbanding rizab sebanyak AS$102.2 bilion yang dimiliki Malaysia.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kos projek ECRL sebanyak RM55 bilion itu tidak terlalu tinggi jika bayaran dibuat secara ansuran selama 20 tahun dan mengambil kira saiz ekonomi Malaysia sebanyak RM1.3 trilion sekarang.

Kalau ekonomi Malaysia akan menjadi seperti Sri Lanka, buat apa negara-negara seperti Arab Saudi dan India hendak meniru sistem ekonomi yang ada di Malaysia? Sudah tentu mereka tidak mahu ikut. Kalau ekonomi Malaysia teruk, buat apa Arab Saudi melabur RM31 bilion, India menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM158 bilion dan China melabur RM144 bilion di negara kita?

Buat apa pula susah-susah pembangkang hendak merampas Putrajaya kalau negara ini sudah tiada apa-apa dan akan bankrap. Buat apa susah-susah seorang yang sudah berusia 93 tahun hendak menjadi Perdana Menteri lagi sekali kalau negara ini sudah tiada apa-apa. Sebenarnya, semua tuduhan pembangkang terhadap ekonomi negara ini adalah bersifat persepsi dan propaganda semata-mata.

Di Malaysia, semua demonstrasi yang pembangkang buat sepanjang 2017 gagal sama sekali. Semua ceramah yang pembangkang buat pun tidak ramai yang datang.

Pembangkang di Asia Barat pun tidak mahu meniru demonstrasi yang dibuat pembangkang di Malaysia. Sebaliknya, kerajaan di negara-negara Arab mahu meniru model ekonomi Malaysia yang terbukti berada di landasan betul.

BERUANG BIRU

Kuala Lumpur