Terlebih dahulu pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan pengadu PESAKIT PRIHATIN dari Puchong, Selangor di atas komen beliau.

Sistem preskripsi elektronik diguna pakai Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) memberi kemudahan kepada pesakit dengan mengurangkan masa menunggu ubat di Jabatan Farmasi dari purata 45 minit kepada serendah lima minit.

Pesakit tidak perlu lagi membawa atau menyimpan preskrispi malah sistem ini sangat berkesan dalam menangani isu keselamatan dan meningkatkan keberkesanan staf farmasi menjalankan tugas mereka.

Sejak sistem ini digunakan, isu pemberian ubat salah, dos tidak betul, penulisan preskripsi tidak jelas, salah guna ubat dan lain-lain telah dikurangkan dengan ketara.

Sistem ini juga mengurangkan kos rawatan dan meningkatkan keberkesanan penggunaan dana kerajaan melalui pengurangan pergantungan kepada tenaga kerja dan kertas serta memudahkan penyimpanan rekod.

Bilangan pesakit yang dirawat di PPUM untuk 2017 menjangkau 1.1 juta orang dengan bilangan preskripsi dan ubat diuruskan Jabatan Farmasi jauh lebih tinggi. Semua ini diuruskan dengan hanya 36 pegawai farmasi.

Mereka perlu memastikan tiada kesilapan dilakukan semasa pemberian ubatan dan memberi khidmat nasihat cara mengambil ubat yang betul.

Mengambil kira peningkatan bilangan pesakit dan preskrispi setiap tahun, penggunaan sistem e-preskripsi adalah wajar dan lebih selamat.

Merujuk kepada keluhan penulis tentang masalah timbul apabila bekalan ubat kehabisan stok, doktor terlupa memasukkan nama ubat dalam senarai atau ubat memberi kesan sampingan teruk, semua itu sebenarnya tidak boleh disalahkan ke atas sistem e-preskripsi.

Isu yang ditimbulkan pengadu tidak ada bezanya jika preskripsi dibuat secara bertulis di atas kertas mahupun secara elektronik.

Semua isu tersebut berpunca daripada masalah logistik dan kesilapan manusia yang boleh ditangani dengan memastikan stok ubat sentiasa mencukupi, mengelak kecuaian semasa mengeluarkan preskripsi, mengenal pasti alahan ubat sedia ada dan memantau kesan sampingan terhadap ubat baharu.

Cadangkan penulis untuk satu peraturan baharu membolehkan Ketua Pegawai Farmasi diberi kuasa khas menentukan ubat gantian bukan sahaja boleh membahayakan pesakit malah bercanggah dari segi etika pengamal perubatan, peraturan-peraturan dan akta sedia ada di negara ini.

PPUM amat prihatin di atas kesulitan dihadapi pesakit dalam apa jua keadaan dan kami akan cuba pastikan pesakit diberi rawatan terbaik.

Bagaimanapun, PPUM tidak akan berkompromi dalam memastikan rawatan selamat dan berkesan diberi kepada semua pesakit.

Bagaimanapun, PPUM akan mengambil sebarang komen secara positif dan akan membuat penambahbaikan yang bersesuaian dengan sebaik mungkin.

PPUM juga komited untuk sentiasa melakukan yang terbaik untuk pelanggannya dan akan mengambil langkah-langkah mitigasi dalam masa terdekat.

PROFESOR DR. TUNKU

KAMARUL ZAMAN 
TUNKU ZAINOL ABIDIN

Pengarah PPUM