Menghampiri minggu ketiga bulan Syawal, bermacam kisah anak-anak kecil lasak menyebabkan kerosakan dan huru-hara di rumah orang termasuk satu perkongsian baharu mengenai sepasang adik-beradik membunuh empat ekor anak kucing.

Bayangkan umur belum mencecah lima tahun sudah pandai ‘membunuh’. Ramai akan berhujah budak kecil tidak tahu dan belum pandai berfikir. Memang ada kebenarannya tetapi wajarkah perangai mereka itu dibiarkan berterusan?

Saya tidak suka menyalahkan anak-anak kecil ini sebaliknya mahu mempersoal kenapa ibu bapa membiarkan anak merayap merata tempat tanpa pemantauan? Adakah mereka tidak kisah jika anak orang berperangai serupa di rumah mereka.

Ditambah pula anak-anak zaman sekarang ramai yang menghidap masalah seperti ADHD (Attention Defisit Hyperactivity Disorder), autism, conduct disorder dan banyak lagi yang memerlukan lebih perhatian daripada ibu bapa.

Secara peribadi saya sering melihat ibu bapa sibuk berborak atau bermain telefon pintar, membiarkan anak-anak berlari ke sana-sini. Bukan sahaja di rumah orang malah di restoran dan tempat awam.

Bila anak hilang, cedera malah ada menjadi mangsa rogol dan bunuh, mula salahkan orang lain kerana diri sendiri tidak pernah salah. Anak-anak tidak salah, ibu bapa yang salah dan sepatutnya tidak beranak jika tidak tahu melindungi dan mendidik mereka.

Ibu bapa jenis ini baik sedikit sahaja daripada golongan yang mencampak bayi baru lahir dari tingkat atas bangunan kerana sama-sama tidak menjaga amanah paling besar daripada Allah SWT.

DUDA ANAK TIGA

Putrajaya