Tentunya ia kejayaan cukup manis buat Sharul dan Ajak yang sejak menyertai MLM, baharu kini dinobatkan sebagai juara.

Pastinya ia bukanlah kejayaan datang bergolek tetapi bertitik tolak daripada usaha bersungguh-sungguh dengan mempersembahkan lawak-lawak berpelajaran untuk pedoman semua.

Mungkin itulah sebaiknya yang dilakukan oleh golongan pelawak agar dalam gelak tawa terdapat sindiran halus untuk mendidik masyarakat.

Begitu jugalah golongan perokok tegar. Jika mereka melihat penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam sebagai sesuatu yang positif, ia merupakan kejayaan ke arah membendung tabiat itu yang merugikan semua.

Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah kerana masih terdapat mereka yang tidak menghiraukan larangan tersebut sekalipun papan tanda dan iklan larangan merokok terpampang di depan mata. Kedegilan dan keangkuhan ini menunjukkan kejayaan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam adalah berbalik kepada golongan perokok itu sendiri.

Malah masyarakat turut diajak untuk mendidik perokok supaya patuh larangan tersebut demi kebaikan semua.

Golongan perokok turut dinasihatkan agar tidak bertegang urat mempertahankan tabiat merokok yang mengundang pelbagai penyakit kronik kepada diri sendiri.

Usah mengikut hawa nafsu dan ego diri sehingga enggan mendengar nasihat malah terus berkeras merokok di tempat awam tanpa pedulikan orang lain.

Bagi individu Muslim, ingatlah juga betapa menghisap rokok, shisha dan vape telah difatwakan haram di beberapa negeri sehingga mudah-mudahan menjadi pencetus untuk berhenti merokok buat selama-lamanya.

Dalam pada itu, susulan serbuan ke atas beberapa kedai mamak di sekitar Johor Bahru baru-baru ini diharap menyedarkan orang ramai agar mengambil berat akan apa yang disuapkan ke dalam mulut mereka.

Jangan asalkan dapat melepak dan berborak sakan, faktor kebersihan dan halal diketepikan. Malah lebih menakutkan apabila pelbagai bentuk pelaris termasuk menggantung ayat-ayat al-Quran bertujuan menarik pelanggan ke premis mereka.

Justeru masyarakat Islam diajak mengambil iktibar daripada golongan yang telah berjaya agar berusaha mengubah tabiat merokok di tempat awam dan melepak di kedai mamak yang meragukan demi kejayaan dunia dan akhirat.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON

Universiti Teknologi Mara Kampus Pasir Gudang, Johor