SAYA cukup bimbang dengan tindakan beberapa ahli politik yang masih mempertahankan pendirian mereka bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

Pandangan mereka adalah tidak tepat kerana dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan Malaysia adalah sebuah negara Islam dan Rukun Negara sendiri menyatakan teras asas pembinaan negara ini bertunjangkan kepada kepercayaan kepada Tuhan.

Dalam masa sama, kerajaan menjamin hak sama rata kepada semua rakyat untuk mempraktikkan agama dan kepercayaan masing-masing. Ini bermakna pihak berkuasa menghormati amalan dan kehidupan individu.

Bagi saya pendirian yang menyatakan Malaysia negara sekular tidak akan dapat membantu mengurangkan gejala sosial yang berlaku dalam negara ini. Dengan adanya panduan daripada ajaran agama, gejala sosial yang berlaku mampu dikawal oleh pihak berkuasa.

Apa akan terjadi kepada masyarakat jika agama dihilangkan rohnya dalam negara ini? Apa yang akan berlaku dalam pemerintahan jika agama ditiadakan dan tidak dapat lagi dijadikan garis panduan oleh para pemimpin.

Oleh itu, saya menggesa ahli-ahli politik supaya mengasihani rakyat marhaen. Mereka perlu memperjuangkan isu-isu rakyat dan bukannya mempolemikkan isu negara sekular.

Ingatlah banyak lagi isu rakyat yang perlu diselesaikan segera bagi memastikan orang ramai tidak terus hidup dalam keadaan terhimpit.

Akhirnya, saya ingin menasihat umat Islam, apabila berpolitik, ingatlah Tuhan.

DR. ISKANDAR HASAN TAN ABDULLAH

UiTM Machang, Kelantan