Tambahan pula apabila melihat murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Selakan yang setiap pagi berpakaian kemas dan bersih bersiap-siap untuk ke sekolah. Ada yang berpakaian sekolah, ada juga berpakaian sukan. Mereka lengkap berkasut.

Keriangan kanak-kanak sekolah itu menyebabkan saya tertarik dan ingin meninjau keadaan sekolah di situ.

Namun, apa yang saya dapati agak terkejut kerana seolah-olah sekolah tersebut tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Pada 2015, sebuah bangunan yang menempatkan beberapa buah kelas di sekolah tersebut telah musnah terbakar. Setelah lebih setahun barulah bangunan baharu dapat didirikan pada 2017.

Setelah bangunan baharu sekolah tersebut siap pada awal tahun ini, jika tidak silap pada Februari lalu, timbul pertanyaan mengapa hingga kini ia masih tidak diserahkan kepada pihak sekolah. Seolah-olah bangunan itu lebih merupakan sebagai hiasan untuk ditonton oleh murid-murid dan ibu bapa.

Di belakang dan hadapan bangunan baharu itu pula terdapat longgokan batu-batu dan simen yang telah keras. Pelik benar perkara ini boleh berlaku.

Tidakkah keadaan longgokan batu dan simen itu kelak boleh membahayakan murid-murid di situ yang belajar dari tahun satu hingga tiga. Janganlah pula apabila sudah berlaku kemalangan termasuk kecederaan barulah pihak berwajib mahu ambil tindakan. Ketika itulah masing-masing hendak menunding jari siapa yang salah.

Gesaan saya kepada Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kerja Raya, cubalah cari penyelesaian segera bagi membolehkan bangunan baharu itu dapat digunakan dan diserah kepada pihak sekolah. Begitu juga dengan Pejabat Pendidikan Daerah, apakah masalah ini telah diajukan kepada pihak kementerian untuk tindakan lanjut? Atau kementerian memang tidak tahu menahu perkara ini?

Janganlah hampakan semangat murid-murid SK Selakan. Di sekolah tersebut terdapat slogan Kami datang dengan satu harapan. Dididiklah kami dengan penuh kesungguha’.

Slogan ini dapat dilihat apabila berkunjung ke SK Selakan. Janganlah slogan ini disia-siakan.

Seperkara lagi, SK Selakan hanya terdapat murid tahun satu hingga tiga, manakala tahun empat, lima dan enam, murid-murid dari pulau ini diletakkan di beberapa buah sekolah lain dan tinggal di asrama.

Saya yakin dengan konsep Kelas Bercantum, dan juga apabila berfungsinya bangunan baharu itu nanti, murid-murid dari tahun satu hingga enam boleh berlajar di sekolah yang sama dan tidak perlu lagi diletakkan di sekolah-sekolah lain. Bawalah kembali murid-murid tahun empat hingga enam itu pulang ke SK Selakan. Saya juga dikhabarkan ramai ibu bapa yang risau anak-anak kecil mereka tinggal di asrama di luar Pulau Selakan. Ada yang risau kerana memikirkan gejala buli dan sebagainya.

PELANCONG ASING