Hakikatnya penutupan itu telah menyulitkan beribu-beribu pelajar dan penghuni bandar. Bagi mereka, perkhidmatan sedia ada sudah pun memadai, justeru bantahan penutupan perpustakaan berkenaan telah pun dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Bantahan antara lain mempertikaikan kewajaran DBKL untuk membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk melakukan kerja-kerja pembaikan Perpustakaan KL sedangkan perkhidmatan sedia ada sudah jauh memadai. Dalam kegawatan ekonomi sekarang, bukankah DBKL perlu berhemah dalam perbelanjaan?

Tidakkah lebih berfaedah jika peruntukan digunakan untuk membiayai rumah mampu milik warga kota yang berada dalam kesusahan berbanding menghabiskan duit membaiki perpustakaan yang sudah pun lengkap?

Sekalipun mahu berbelanja, memadai membeli buku-buku yang dapat memberi manfaat secara langsung kepada orang ramai daripada berbelanja sejumlah wang yang hanya menguntungkan pihak kontraktor.

Bagi pihak warga kota dan beribu-ribu pelajar, saya mohon pihak DBKL dapat membuka semula perkhidmatan Perpustakaan KL selepas 30 April ini. Sekiranya perkhidmatan tidak disambung selepas 30 April, kita boleh buat andaian bahawa amalan sikap berbelanja secara berhemah hanya omongan kosong!

S. GOVIND

Bukit Petaling