Konsep perniagaan terbuka dikekalkan tetapi diberi penambahbaikan antaranya saiz lot lebih luas dan teratur untuk memberi galakan kepada bumiputera untuk berniaga secara kecil-kecilan.

Ini adalah salah satu cara untuk menggalakkan lebih ramai bumiputera menceburi bidang perniagaan khususnya golongan belia. Di samping itu, kita tidak lagi meragui tentang status halal makanan atau barangan yang dihasilkan peniaga bumiputera asalkan mereka mengeluarkan sendiri produk masing-masing.

Ada dua kaedah boleh dilaksanakan iaitu pasar tani biasa seperti di taman-taman perumahan atau pasar tani mega di lokasi-lokasi tertentu mengikut keadaan dan kepadatan penduduk serta berpotensi untuk menghidupkan dan memajukan kawasan berkenaan.

Selain itu, kemudahan seperti tandas awam, tempat buang sampah dan surau dibina berdekatan tapak pasar tani. Peniaga juga diminta mempelbagaikan barangan jualan masing-masing, tidak semestinya barangan basah seperti ikan atau hasil laut lain serta sayuran sahaja.

Tiada had kepada sesiapa juga hendak berniaga asalkan warganegara Malaysia dan bumiputera sahaja.

Diharapkan juga semua peniaga pasar tani ini dikecualikan apa-apa bayaran sewa dan segala tanggungjawab memantau dan menguruskannya terserah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Dari aspek kebersihan, peniaga perlu bertanggungjawab dengan membersihkan premis masing-masing selepas habis berniaga. Jasa baik pegawai penguat kuasa PBT juga dipohon supaya melonggarkan syarat dan tidak terlalu mengetatkan peraturan.

SYED ABDULLAH 
SYED OSMAN

Ampangan, Seremban