SAYA sedih melihat bahasa dan budi pekerti anak muda sekarang seolah-olah mereka ini membesar dalam hutan dan tidak pernah bergaul dengan manusia lain selain haiwan yang menyalak dan melolong.

Budi bahasa dan sopan santun umpama sudah luntur selepas generasi yang lahir sebelum tahun 1990 melihatkan terlalu banyak anak muda sekarang tidak tahu adab bercakap dengan orang lebih tua.

Bayangkan anak kita membawa pulang bakal menantu yang ‘tidak cukup sifat’, bukan secara fizikal tetapi adab dan tutur bahasanya.

Saya sendiri tidak faham bagaimana anak-anak yang kita didik sempurna dari kecil masih mahukan pasangan sedemikian, bakal ibu atau bapa kepada cucu kita tetapi sikapnya mengalahkan budak tadika. Paras rupa diutamakan daripada kualiti bakal ibu atau bapa anak-anak.

Sama ada terlalu terikut-ikut dengan filem Hollywood mahupun drama Melayu pukul 7 malam, terlalu ramai (bukan semua) anak muda kita yang terlalu dimanjakan sehinggakan tidak berfikiran matang, tidak berfikir sebelum bercakap dan tiada inisiatif diri membantu orang tua.

Mereka lebih menjaga penampilan sama ada pakaian, solekan, produk kecantikan dan aksesori badan daripada budi bahasa.

Semuanya bermula di rumah, ibu bapa perlu bijak mendidik dan tidak boleh melepaskan sepenuhnya kepada guru di sekolah mahupun kerajaan untuk membentuk anak-anak mereka menjadi manusia yang sopan dan berbudi bahasa.

Janganlah sekadar tahu membuat anak sahaja tetapi ‘melentur buluh biarlah waktu rebung’, ingatlah anak-anak itu mencerminkan maruah ibu bapa dan keturunannya termasuklah melalui bahasa dan tingkah laku mereka.

Semoga dijauhkan keturunan kita semua daripada ‘mamat dan minah plastik’ ini demi kelangsungan zuriat berkualiti untuk mewarisi negara kelak.

HAJI KAMARUL

Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur