Jiran tetangga adalah mereka yang tinggal berdekatan antara satu sama lain dalam satu-satu komuniti.

Jabatan Perpaduan Negara (JPN) mendefinisikan konsep kejiranan sebagai penduduk yang tinggal di suatu kawasan perumahan dengan identiti sendiri. Umpamanya Kampung Kerinchi, maka seluruh kampung itu dikira sebagai jiran tetangga.

Skim Rukun Tetangga JPN (2000) menggariskan beberapa unsur kejiranan seperti berkenal-kenalan, kerap bertemu dan tolong-menolong, rasa bertanggungjawab terhadap keharmonian dan keamanan kawasan sejiran, bangga dan sayang dengan kawasan kediaman serta mempunyai semangat patriotik merangkumi muhibah, persefahaman, toleransi, harmoni dan menghormati undang-undang.

Persoalannya ialah sejauh manakah konsep kejiranan yang membina itu diamalkan oleh masyarakat kita hari ini?

Apakah amalan kejiranan yang ada pada hari ini benar-benar dapat membina solidariti atau kesepaduan masyarakat?

Masih meluaskah lagi sifat mengambil berat terhadap jiran, jalinan kemesraan, gotong-royong dan mengambil berat terhadap kawasan perumahan atau penempatan yang kita diami?

Hakikatnya, mutakhir ini aspek kejiranan semakin pudar dan tidak diberikan perhatian sewajarnya, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar.

Justeru, tidak hairanlah ramai yang tidak mengenali jirannya walaupun tinggal sebelah menyebelah.

Jika pun mengenali tetapi ramai yang tidak merasakan kemesraan berjiran apatah lagi perasaan untuk mengambil berat tentang hal ehwal jiran.

Kemesraan dan keseronokan berjiran tidak terasa kerana aspek interaksi yang positif dan membina diabaikan.

Pelbagai alasan diberikan seperti tidak mahu jaga tepi kain orang, terlalu sibuk dan sebagainya.

Amalan kejiranan yang membina semakin terhakis disebabkan ‘pembudayaan kota’ ­berasaskan landasan Barat seperti individualisme, materialistik dan hedonisme menjadikan kebanyakan penduduk bandar tidak lagi mementingkan nilai dan norma kejiranan.

Masyarakat seperti ini tidak lagi menganggap jiran sebagai kelompok penting untuk dirujuk atau berkongsi masalah.

Sikap seperti ini bukan sahaja bercanggah dengan budaya ketimuran tetapi juga bercanggah dengan tuntutan hidup beragama.

Oleh kerana kejiranan adalah sebahagian daripada kesyumulan Islam yang boleh membawa kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat maka Rasulullah melarang keras perlakuan menyakiti dan menyusahkan jiran walaupun jiran itu adalah orang bukan Islam.

Untuk memelihara keharmonian dan perpaduan hidup bermasyarakat, maka Islam mengambil berat amalan kejiranan yang sihat. Hak-hak jiran mesti ditunaikan sebaik mungkin.

Terlalu banyak peranan jiran yang boleh kita sebutkan. Ketika kita tiada di rumah atau meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama seperti balik kampung atau pergi melancong, maka jiranlah yang kita harapkan untuk memerhati dan memantau rumah kita daripada perkara yang tidak diingini.

Demikian juga ketika kita dalam kecemasan, maka jiranlah orang yang paling hampir untuk kita dapatkan bantuan.

Jiran yang baik akan bersedia untuk menjaga anak-anak kita sewaktu kita ada keperluan mendesak atau hal-hal kecemasan di luar. Ketika kenduri kendara, jiran jugalah yang akan memainkan peranan penting menjayakan majlis kita itu.

Selain itu, jiranlah tempat kita berbual-bual dan berbincang mengenai sesuatu masalah, sama ada masalah peribadi atau masalah yang dihadapi di kawasan tempat tinggal kita.

Sering kali hasil daripada perkongsian atau perbincangan masalah itu akan menemukan jalan penyelesaiannya. Amalan kejiranan yang baik pastinya akan menjadikan masyarakat bersatu dan hidup harmoni.

Kesimpulannya, kejiranan adalah unsur penting dalam membina masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Memiliki jiran yang baik akan membawa kepada kesejahteraan dan keharmonian hidup bermasyarakat.

MOHD. AYOP ABD. RAZID

Selayang Baru, Selangor