Peruntukan itu adalah untuk menyelenggara lif, tangga, bumbung, mengecat bangunan, membaiki tangki air dan pendawaian semula.

Cuma saya mendapati terdapat satu kekurangan yang belum dapat diatasi sepenuhnya iaitu tabiat penghuni kedua-dua jenis pangsapuri itu yang suka membuang sampah sarap di merata-rata tempat.

Baru-baru ini, ketika mengunjungi pangsapuri kos sederhana rendah di Gombak, Selangor, saya melihat sendiri longgokan sampah sarap yang memenuhi koridor rumah, tangga, longkang dan taman permainan.

Kelihatan beberapa kumpulan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun sedang bermain-main di halaman kosong antara dua blok pangsapuri tersebut sambil memegang bungkusan makanan ringan. Selepas habis menikmati makanan ringan tersebut, mereka terus membuang plastik makanan itu tanpa rasa bersalah.

Penduduk di situ mendakwa kanak-kanak menjadi penyumbang utama kepada masalah pencemaran sampah sarap di kawasan berkenaan. Mereka dikatakan sering berkumpul untuk bermain-main pada waktu petang dan pasti akan meninggalkan sampah di sekitar kawasan aktiviti mereka. Bilangan kanak-kanak juga dikatakan semakin bertambah setiap tahun menyebabkan perbuatan itu menjadi semakin tidak terkawal.

Namun, saya mendapati orang dewasa juga menjadi penyumbang kepada pemandangan yang menyakitkan mata itu. Ini dapat diperhatikan daripada pembuangan puntung rokok di merata-rata tempat terutamanya di kawasan tangga dan longkang.

Terdapat beberapa bungkusan plastik sampah domestik tidak dibuang di tempat pembuangan sampah yang disediakan. Mata saya sempat terpandang beberapa rumah yang dipenuhi sampah sarap di hadapan pintu masuk kediaman. Terdetik dalam hati saya, apakah penghuni rumah tiada langsung sebarang inisiatif untuk menjaga kebersihan premis mereka? Adakah mereka tidak kisah hidup dengan kawasan rumah tidak bersih?

Namun, beberapa hari kemudian saya mendapati sampah sarap di koridor dan halaman tengah antara blok pangsapuri itu berkurangan. Kelihatan seorang lelaki berusia lewat 50-an sedang menyapu di halaman antara dua blok pangsapuri itu.

Rupa-rupanya itu adalah rutin lelaki berkenaan pada hujung minggu, iaitu membersihkan bukan sahaja koridor rumah sendiri tetapi seluruh kawasan itu. Lebih membanggakan, segala-galanya dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan bayaran.

Beberapa persoalan bermain dalam fikiran saya. Bagaimana mungkin kawasan seluas itu mampu dijaga kebersihannya jika tiada kerjasama daripada seluruh penduduk? Adakah kerana kehadiran insan istimewa itu menyebabkan penghuni di situ berasa selesa dengan tabiat pengotor mereka? Mungkin lama-kelamaan pak cik itu akan menjadi penat apabila merasakan segala usahanya seolah-olah tiada penghujung?

Pada pendapat saya, didikan tentang kepentingan menjaga kebersihan harus bermula di rumah. Sebagai contoh, ibu bapa boleh mendidik anak-anak untuk membuang sampah dalam tong sampah yang disediakan. Apabila anak-anak sudah terbiasa dengan amalan membuang sampah di tempat yang betul, mereka pasti akan mengamalkannya walaupun di mana mereka berada.

Kerajaan juga harus memperkenalkan kempen kesedaran menjaga kebersihan yang lebih kreatif untuk mengubah sikap penduduk. Apalah gunanya jika kita mencapai status negara maju tetapi sikap penduduk masih di takuk lama.

NUR AZIRA MAT RAHIM

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)