Ramai orang beranggapan bahawa di institusi pendidikan tidak ada pihak yang bersikap sombong dan bangga diri kononnya kerana semua orang terlibat dalam usaha mencari ilmu.

Bagaimanapun, banyak cerita tentang ketua jabatan yang sombong, ahli akademik kanan yang angkuh dan individu yang menganggap mereka lebih unggul daripada sesiapa sahaja.

Di institusi pendidikan, mereka yang angkuh biasanya berkait rapat dengan dari mana mereka memperoleh ijazah, bidang pengajian yang diambil atau tahap pengajian dan kedudukan individu tersebut.

Kakitangan akademik yang masih baharu mungkin tidak dianggap sebagai rakan sejawat sebenar. Dalam setiap perjumpaan atau sesi perbincangan, mereka yang dianggap sebagai junior ini sering diabaikan golongan berstatus senior.

Kelayakan kertas atau ijazah yang dimiliki atau keunggulan gred yang dipegang juga tidak cukup untuk junior mengelak daripada dilayan seperti mereka tidak wujud.

Murid dan pelajar diajar menghormati dan belajar tentang nilai-nilai murni bermula dari sekolah hingga institusi pengajian tinggi tetapi ‘si sombong’ ini akan tetap mencari ruang untuk komen-komen negatif.

Ada juga pendidik baru dalam perkhidmatan akademik menamatkan kerjaya mereka kerana tidak diiktiraf oleh kumpulan pendidik kanan.

Merasakan diri terlalu hebat adalah tidak baik untuk ahli mahupun institusi akademik. Sekiranya orang ramai melihat ahli akademik mementingkan diri sendiri, pasti mereka kurang cenderung untuk menyokong pembelajaran tertiari.

Orang yang bersikap sombong sering tidak menyedarinya. Mereka hanya percaya bahawa mereka sahaja yang hebat.

Hanya kerana mereka yang sombong berkuasa di dalam urusan harian tidak bermakna kita harus mengabaikannya tanpa tindak balas. Ini boleh memberi kesan yang sangat merosakkan khususnya kepada institusi pendidikan.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur