Permintaan beliau agar dipanggil ‘bro Saddiq’ dan bukannya YB (Yang Berhormat) mungkin dilihat sebagai jenaka tetapi sebenarnya sangat sesuai dengan usia dan jawatannya.

Saya suka dengan perancangan menteri muda ini untuk menerapkan gaya hidup aktif dan meneruskan mana-mana program positif yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.

Malah pendekatannya yang tidak pilih kasih apatah lagi berdendam dengan mana-mana pihak termasuk ahli politik parti lawan dan juga media arus perdana perlu menjadi contoh semua wakil rakyat.

Adalah menjadi harapan muda-mudi Malaysia untuk melihat ahli politik lebih muda seperti Syed Saddiq diberi tempat dalam pentadbiran termasuk sebagai wakil rakyat.

Ahli politik yang sudah tua berehat dan beri peluang kepada anak muda menabur bakti, jangan asyik berebut kuasa dan mengaut kekayaan pada usia emas sehingga lupa fungsi menjadi wakil rakyat.

Tidak kira dalam kerajaan atau pembangkang, biarkan golongan muda memimpin sementara mereka yang berusia dalam parti boleh menjadi pemantau dan penasihat seperti fungsi Majlis Penasihat Kerajaan sekarang.

Remajakan dunia politik supaya anak muda dan bakal pengundi mengambil berat tentang pentadbiran dan masa depan negara.

OVARI

Kuala Lumpur