Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu peka betapa pentingnya program tersebut terhadap golongan yang tidak mampu menagih liku-liku hidup sepanjang masa. Hidup mereka bagaikan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Mereka adalah golongan yang tidak bernasib baik seperti mana setengah-setengah golongan lain.

BSH yang diterima itu adalah hasil daripada titik peluh mereka membantu kerajaan juga dalam bentuk bayaran cukai pendapatan walaupun sedikit.

Kerajaan PH jangan terlalu ‘bakhil’ dengan mengenakan pelbagai syarat yang tidak munasabah. Wang daripada Kementerian Kewangan diperoleh hasil daripada pelbagai cukai yang dikenakan ke atas rakyat.

Rata-rata mereka yang menerima faedah itu memuji cara perlaksanaan BR1M di waktu kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu. Apa salahnya diteruskan model pengurusan yang berkesan itu.

Kemelut ini jangan dibiarkan berlarutan setiap tahun. Nampaknya Kementerian Kewangan suka mengamalkan dasar hipokrit dalam setiap perkara bermasalah.

Lakukan tindakan mengurus dengan tulus ikhlas. Jangan ada agenda ‘udang di sebalik batu’ atau ‘bagai melepas batuk di tangga’ bagaikan acuh tak acuh dan tidak bersungguh.

Rakyat yang menderita kerajaan perlu membantu. Hakikatnya cukai harta orang kaya hendaklah diagihkan kepada orang fakir atau miskin.

Jangan memutarbelitkan keadaan dan akhirnya lambat-laun kerajaan yang tamak akan rugi. Sedar-sedarlah!


OSI BISA

Perlis.