Bila cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan pada 2015, peniaga berdaftar sudah tidak boleh memanipulasi akaun sesuka hati dan terpaksa mengisytiharkan jualan, pendapatan dan cukai dikutip mereka.

Melalui pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula, kerajaan boleh mengesan mereka yang selama ini mempunyai pendapatan sampingan atau pendapatan hasil berniaga.

Namun, SSM hanya sebagai pendaftar perniagaan dan menjadi tanggungjawab peniaga itu sendiri mengisytiharkan pendapatan atau status perniagaan mereka kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sama seperti mereka yang ‘makan gaji’, peniaga perlu mengisytiharkan pendapatan tahunan mereka kepada LHDN bagi menilai sama ada mereka layak atau tidak layak membayar cukai pendapatan mahupun cukai perniagaan.

Oleh itu, permohonan BR1M mereka bukannya gagal disebabkan berdaftar dengan SSM sebaliknya gagal kerana mereka tidak mengisytiharkan pendapatan atau pun pendapatan sudah melangkaui had kelayakan BR1M.

Saya ulang, jika permohonan BR1M anda gagal kerana tidak pernah isytiharkan pendapatan kepada LHDN, itu salah anda sendiri.

Jika anda sudah tidak berniaga atau tiada hasil pendapatan daripada perniagaan tetapi tidak dimaklumkan kepada LHDN menyebabkan BR1M ditolak, itu juga salah anda dan bukannya LHDN mahupun SSM.

Memang semua orang tidak suka membayar cukai malah bayar parkir 50 sen sejam pun dirasakan ‘terlalu mahal’ tetapi negara kita mengamalkan konsep ‘adil’ iaitu mereka yang berpendapatan tinggi membayar cukai sementara berpendapatan rendah diberi bantuan.

Seramai 6,320,769 pemohon yang benar-benar layak telah diluluskan BR1M 2017 setakat ini dengan berjuta lagi pemohon yang gagal berpeluang merayu.

Tidak adil jika peruntukan bantuan itu disampaikan kepada golongan tidak layak tetapi pada masa sama peluang masih terbuka bagi mereka yang betul-betul layak membuat rayuan.

Boleh dikatakan semua rakan saya memohon BR1M tetapi yang betul-betul layak hanya dua orang sahaja sedangkan selebihnya hidup mewah dengan pendapatan daripada perniagaan, rumah sewa, pelaburan mahupun harta warisan malahan rata-ratanya mengelak daripada membayar cukai pendapatan apatah lagi zakat.

Ramai menggunakan alasan ‘siapa tidak mahu duit percuma’, tetapi bila permohonan ditolak mereka mengamuk dalam media sosial mengutuk dan memaki hamun semua pihak termasuk SSM yang langsung tiada kaitan dengan BR1M.

Walaupun mereka ini rakan saya, mereka juga termasuk golongan ‘penipu’ yang cuba mengambil sesuatu yang bukan hak mereka serta enggan menunaikan tanggungjawab masing-masing (cukai dan zakat).

Jika anda melihat orang yang mengamuk kerana gagal mendapat BR1M, nasihatkan mereka membuat rayuan dan jika mereka tidak mahu merayu atau mengemukakan dokumen diperlukan kepada LHDN maka terbukti mereka juga terdiri daripada golongan ‘penipu’.

Tidak perlu kita kasihani golongan ‘penipu’ ini kerana mereka mengamuk selepas gagal ‘mencuri’ hak orang miskin dan kurang mampu.

Mereka yang cuba menyalahkan SSM sebagai punca permohonan BR1M 2017 ditolak sebenarnya cuba mengaburi mata orang ramai bahawa mereka termasuk golongan ‘penipu’ ini.

Bukannya susah untuk mengesan golongan ini, lihat sahaja paparan media sosial mereka sama ada memang hidup susah atau sentiasa melancong, membeli barang berjenama, hidup mewah dan penuh bergaya.

Maaf saya katakan, mereka yang layak terima BR1M tidak minum kopi berharga RM7 secawan apatah lagi sentiasa makan di luar dan kerap berkongsi gambar makanan ‘hipster’ di media sosial.

Saya sudah merekodkan komen serta butiran mereka yang mengamuk mengenai BR1M di media sosial dan akan menghantarnya kepada LHDN untuk tindakan lanjut. Marilah sama-sama kita bantu kenal pasti antara mereka yang memerlukan bantuan dan golongan ‘penipu’.

 

DEWA ANSAI

Ampang, Selangor