Anak-anak akan memerhati dengan teliti, melihat apa yang kita lakukan dan bahasa kita gunakan, bukannya mengikut sepenuhnya apa sahaja arahan ibu bapa kepada mereka.

Kita boleh melihatnya sebagai ‘kepimpinan melalui teladan’ kerana jika ibu bapa gagal menjaga tingkah laku dan budi bahasa dengan baik, semua itu akan membawa kesan terhadap anak-anak.

Sebelum menyalahkan orang lain, mari kita perhatikan tingkah laku kita sendiri ketika berada bersama keluarga khususnya di depan anak-anak.

Adakah kita mudah hilang sabar ketika mereka tidak berkelakuan seperti yang kita mahu? Adakah kita bersabar apabila mereka tidak membawa keputusan akademik yang diharapkan?

Bagaimana pula dengan masa dan ketika kita tidak sedar mengumpat atau memburukkan orang lain di hadapan anak-anak?

Begitu juga apabila sedang memandu di jalan raya, mari kita pastikan kita berhemah dengan sikap dan tingkah laku di depan anak-anak.

Patuhi peraturan lalu lintas dan hormati pemandu lain, jika tidak kita secara efektif mengajak generasi masa depan menjadi pemandu yang tidak sabar dan kasar.

Tidak kira betapa tegas dan kerap kita menasihatkan anak-anak untuk menjaga tingkah laku, budi bahasa dan menghormati orang lain, semuanya tiada makna jika kita sendiri tidak menonjolkan sikap tersebut.

Ingatlah, apabila menegur anak, elakkan daripada menyumpah atau mengutuk dan lebih penting, elakkan daripada keganasan fizikal.

Anak mungkin tidak banyak memberi reaksi pada masa itu tetapi sebenarnya mereka mempelajari sesuatu yang tidak baik.

Sebagai manusia, ada masanya kita akan hilang kesabaran dan kawalan diri tetapi kita mesti melakukan yang terbaik untuk tidak membiarkannya berlaku di hadapan anak-anak.

Jika tidak, sia-sia sahaja usaha kita untuk membentuk dan membimbing waris keluarga dan memberi ruang kepada mereka untuk beranggapan ‘tidak mengapa untuk melakukan kesalahan dan kesilapan kerana ibu bapa kita juga sama sahaja’.

AZIZI AHMAD

Segambut Luar, Kuala Lumpur