Sebagai peminat pasukan tuan rumah yang mengeluarkan wang untuk membeli tiket, minyak kereta dan makan minum semata-mata untuk memberi sokongan kepada pasukan kami dan sokongan kepada sukan nombor satu dunia ini, agak rasa terkilan dengan sikap sebahagian besar pemain PKNP FC.

Mereka tidak profesional kerana banyak melengah-lengahkan masa kerana kecederaan yang sengaja dibuat-buat. Sikap ini juga boleh dilihat ketika mengambil sepakan sudut seolah-olah mereka tidak mahu mengambilnya dan provokasi ketika pasukan Pahang diberikan sepakan percuma atas kekasaran mereka.

Sebagai peminat sukan, kami faham, menang kalah adat pertandingan tetapi biarlah menang dan kalah dengan bermaruah.

Kalau pengurusan PKNP FC kata itu adalah taktik pasukan, maka amat malanglah bola sepak Malaysia. Jangan kata 10 atau 15 tahun lagi kita nak bermain di Piala Dunia, 30 atau 40 tahun nak cecah Piala Asia pun belum tentu.

Selain daripada pemain yang tidak cergas dan tidak mahu berdaya saing (dah dapat satu gol macam dah menang), pihak pengadil yang kurang tegas mendisiplinkan serta mengambil tindakan terhadap pemain yang melengah-lengahkan masa menjurus kepada ‘pembunuhan seni bola sepak’.

Sewajarnya pemain PKNP FC khasnya dan semua pemain bola sepak Malaysia umumnya (termasuk pasukan Pahang) mencontohi pemain-pemain dari negara yang bermain di Piala Dunia 2018 terutama dalam disiplin permainan, menyerang, bertahan dan mengejar jaringan yang lebih banyak walaupun sudah mendahului dua atau tiga gol.

Semoga kita melahirkan ahli-ahli sukan yang lebih cergas, berdisiplin, komited dan berdaya saing kelak.

DJ DEANNOR

Kuantan