Rosyam Nor

Saya masih ingat selepas Pakatan Harapan tewas tipis dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), begitu ramai penyokong Pakatan Rakyat menuntut sesiapa memangkah BN supaya unfriend mereka dalam Facebook.

Penyokong BN dihina sebagai bodoh, gila dan bermacam cacian lain. Penyokong BN tidak pula melakukan perkara serupa selepas parti itu tewas dalam PRU-14.

Begitu juga tahun-tahun sebelum ini khususnya sejak 2008, tidak ada peniaga yang menyokong pembangkang ketika itu diboikot atau ada gerakan memboikot atas dasar ideologi politik itu hak individu.

Kepemimpinan Pakatan Harapan perlu bijak menasihatkan pengikut mereka jangan terlalu taksub berpolitik tambahan pula parti dan ahli politik kesayangan mereka sudahpun menang.

Jika mahu main permainan boikot politik, cuba dedahkan nama-nama penyokong dan penyumbang dana kepada Pakatan Harapan dan lihat sama ada mereka teruk diboikot atau tidak menjadi kesan.

Jangan libatkan politik dengan dunia perniagaan, beringatlah Pakatan Harapan menang agak tipis dari segi undi dan kerusi dalam PRU14. Tunggu menang majoriti dua pertiga dahulu dan jangan riak.

ANAK SENI

Kuala Lumpur