Memang kita akui dahulu tidak ramai ibu bapa yang yakin dengan bidang ini sehingga jumlah mereka yang terbabit dalam animasi boleh dikira dengan jari. Malah jika ada dalam kalangan anak-anak mereka yang berhasrat untuk mengambil kursus animasi kebanyakan ibu bapa tidak menggalakkannya.

Mungkin keadaan itu disebabkan jumlah pekerjaan dalam bidang animasi pada masa itu khususnya di negara ini agak terhad dan ibu bapa bimbang anak-anak mereka akan menganggur selepas tamat pengajian.

Namun situasi semakin berubah rentetan daripada kejayaan demi kejayaan oleh syarikat animasi tempatan seperti Animonsta dan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. iaitu syarikat animasi yang mencipta watak kanak-kanak kembar popular, Upin Ipin.

Secara peribadi saya mengucapkan syabas kepada Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta, Mohd. Nizam Abd. Razak atas usaha kerasnya memperkenalkan rancangan animasi bersiri Boboi­boy yang kini disiarkan di 45 buah negara seluruh dunia. Saya percaya bukan mudah Mohd. Nizam bersama kumpulannya yang terdiri daripada tenaga-tenaga muda yang begitu kreatif untuk mempopularkan Boboiboy di mata dunia.

Lebih menarik perhatian saya lagi, rancangan animasi Boboiboy itu telah diterjemahkan ke beberapa bahasa utama seperti bahasa Inggeris, Arab, Rusia dan Mandarin. Pencapaian ini bagi saya cukup hebat. Apa yang boleh saya katakan kanak-kanak yang berada di luar Malaysia turut berminat dengan Boboiboy bersama beberapa karakter utamanya seperti Yaya, Ying, Gopal, Fang, Ochobot, Tok Aba dan musuh mereka Adu Du.

Mohd. Nizam juga adalah antara tenaga kerja awal yang terlibat dengan penerbitan rancangan animasi Upin Ipin sebelum melakar kejayaan dengan terciptanya watak Boboiboy. Dalam usia yang boleh saya katakan muda beliau berjaya membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu pergi jauh dalam bidang animasi.

Semalam dalam ruangan UtusanBiz, Utusan Malaysia Mohd. Nizam ada memberitahu filem BoBoiBoy: The Movie yang melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM5 juta bakal menemui peminat-peminatnya Khamis ini. Diharapkan filem sulung terbitan syarikat tersebut akan menempa kejayaan sekali gus melakar satu lagi sejarah dalam bidang animasi negara.

Saya yakin sekiranya semua rakyat Malaysia memberi sokongan padu kepada filem animasi ini unjuran pendapatan sebanyak RM15 juta yang disasarkan oleh Animonsta mampu dicapai.

NOR AISYAH

Kuala Lumpur