Kebimbangan itu merujuk laporan yang memetik persetujuan Persatuan Aktuari Malaysia (ASM) bahawa “apabila nyahtarif tarif dan perniagaan kenderaan, kadar premium dijangka meningkat bagi perniagaan kenderaan yang akan menghasilkan penambahbaikan nisbah kerugian kenderaan daripada mengalami kerugian semasa atau kedudukan pulang balik modal.”

Nyahtarif secara tidak sengaja dilihat menghukum pemandu baik oleh beberapa faktor terutama sekali berdasarkan jantina, usia, perbatuan kereta dan pekerjaan pemandu. Selain itu, nyahtarif memansuhkan struktur tarif seragam yang diselia Bank Negara Malaysia (BNM) dan membolehkan syarikat insurans menetapkan harga produk insurans kenderaan sendiri. Mulai 1 Julai 2017, pengiraan premium insurans kenderaan akan ditentukan berdasarkan risiko – semakin tinggi risiko pemandu mengalami kemalangan, semakin tinggi harga insurans yang ditetapkan.

Sebagai ganti nyahtarif, BNM digesa memperkenalkan Skim Liabiliti Tanpa Kesalahan (NFL) seperti yang pernah dicadangkan CAP pada 2010. Kos NFL dilihat lebih rendah berbanding kebanyakan polisi insurans kenderaan semasa malah menangani masalah pengguna dengan skim insurans semasa.

NFL bukanlah sesuatu yang baharu dan CAP mencadangkan Malaysia mencontohi model yang diamalkan di Victoria, Australia, dan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Kemalangan Pengangkutan (TAC). NFL juga telah dilaksanakan oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Australia.

Untuk makluman, kita juga berjaya melaksanakan skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 1971 yang merupakan skim NFL. Ini menunjukkan kita mempunyai kepakaran untuk mereka bentuk dan melaksanakan skim seperti itu.

Di Malaysia, CAP menyarankan skim ini dibiayai oleh premium insurans pihak ketiga. CAP beralasan bahawa bayaran pengurusan dan guaman syarikat insurans dijangka akan berkurang memandangkan tiada lagi keperluan untuk membuktikan kesalahan, dan tiada lagi sebarang komisen kepada ejen sementara premium yang sedia ada sudah mencukupi.

Lebih-lebih lagi, pembiayaan juga boleh diperoleh daripada Perkeso kerana ia juga menangani tuntutan pekerja yang cedera dalam waktu kerja, termasuklah perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja mereka.

Apa yang diberi perhatian ialah pencegahan kemalangan untuk menjadikan skim itu berdaya maju dalam jangka panjang. Seperti dalam kes di Victoria, terdapat pengurangan lebih daripada 38,000 tuntutan dalam tempoh lebih 10 tahun, dengan penjimatan lebih daripada AUD$1 bilion. Bilangan kematian jatuh kepada 377 pada 2006 daripada 776 pada 1987.

Kerajaan Australia mengambil langkah proaktif untuk memperbaiki keadaan jalan, keselamatan kenderaan dan kempen keselamatan jalan raya yang lebih berkesan.

Pada hakikatnya, BNM berminat untuk melaksanakan NFL sehinggalah pada 2010 apabila BNM mengumumkan Rangkakerja Perlindungan Kenderaan Asas (BMCF) yang merupakan petanda buruk kepada NFL.

Kemudian pada lewat April 2017, BNM mengumumkan sedang meliberalisasikan industri insurans kenderaan supaya syarikat insurans individu dan pengendali takaful boleh menentukan harga produk insurans kenderaan.

Sementara itu, pelaksanaan nyahtarif dijangka menjejaskan semua rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan. Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), terdapat 27.61 juta kenderaan berdaftar di Malaysia pada 2016 dan kesan nyahtarif ke atas setiap orang yang memiliki lesen kenderaan tidak dapat dibayangkan.

Terdapat konsensus umum antara CAP, BNM dan Pejabat Peguam Negara bahawa NFL adalah baik dalam bentuk membantu mangsa kemalangan. Dengan nyahtarif, tiada penambahbaikan ketara terhadap masalah yang dikenal pasti oleh BNM pada 2007.

Adakah masalah pengguna yang dikenal pasti oleh BNM pada 2007 ditangani dengan menyeluruh atau BNM hanya melindungi kepentingan industri insurans apabila insurans kenderaan dinyahtarif?

CAP sekali lagi menegaskan bahawa NFL perlu segera diguna pakai dan dilaksanakan demi kepentingan pengguna. Amat mengejutkan bahawa BNM berterusan menyokong syarikat insurans bukannya orang ramai.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP