Tatkala negara dalam suasana politik yang kurang tenteram, wajah seorang tokoh pemimpin negara sering muncul dalam hati rakyat Malaysia. Tokoh itu tidak lain tidak bukan ialah Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Semua sedia maklum, Tunku yang lebih dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan telah memperjuangkan kemerdekaan negara bersama pemimpin-pemimpin pelbagai kaum pada 1957. Bagi Tunku, kemerdekaan negara tidak diperoleh dengan mudah, semua warga berbilang kaum telah banyak berkorban dalam membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

Tunku merintis permuafakatan politik melalui Perikatan pada awal kemerdekaan di mana UMNO, MCA dan MIC berganding bahu membentuk kerajaan. Masuk 1970-an, model kerjasama parti politik berbilang kaum diperluaskan menjadi BN di mana lebih banyak parti baharu diterima ke dalam gagasan politik pemerintah.

Namun selepas 60 tahun merdeka, ternyata Malaysia masih dihantui isu-isu perkauman dan keagamaan yang kompleks. Saya berpendapat, semangat persaudaraan dan keharmonian antara kaum yang dimulakan oleh Tunku perlu dipraktikkan semula.

Kritikan besar ke atas BN lebih terarah kepada kelemahan-kelemahan dalam melaksanakan dasar-dasar membasmi kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Kelemahan itu telah banyak mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat sehingga mereka bertekad mengubah kerajaan.

Dahulu, MCA dan Gerakan banyak menumpukan tenaga dan masa mereka dengan memberi perkhidmatan kepada pengundi. Mereka sering dikritik terlalu mengikut-ikut dalam gagasan dan tidak benar-benar bersuara dan berfungsi dalam pembentukan dasar-dasar kerajaan.

Walau bagaimanapun, Malaysia tetap diberkati. Negara mengecapi tahap pemodenan dan pembangunan sosial membanggakan. Selepas 60 tahun merdeka, kaum bukan Melayu sudah boleh berbahasa Melayu dengan lebih baik berbanding generasi terdahulu.

Dalam bidang ekonomi pula, walaupun terdapat persepsi sesetengah golongan tersekat dan terpinggir oleh dasar kerajaan, semua kaum memperoleh kejayaan tersendiri. Hal ini membuktikan Malaysia tetap mengamalkan satu dasar ekonomi terbuka dan setiap warganya ditawarkan peluang asalkan mereka rajin dan mampu bersaing.

Rakyat sebenarnya dilihat jauh lebih bersatu padu dan prihatin antara satu sama lain dalam kehidupan seharian. Kita sesungguhnya lebih beridentitikan Malaysia, namun tidak pula kekurangan sebarang ciri-ciri budaya yang diwarisi kaum masing-masing.

Sesungguhnya, tindakan rakyat memilih PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) boleh ditafsirkan sebagai satu usaha untuk mencari harapan baharu agar mereka membawa perubahan lebih baik bagi negara yang dicintai. Akan tetapi adalah tidak logik mengandaikan kerajaan PH akan terus diberi mandat memerintah secara berpanjangan.

Rakyat kini lebih berpendidikan dan pandai menganalisis situasi dan hala tuju politik semasa. Mereka tidak mudah terperangkap dalam retorik berlebih-lebihan mana-mana parti politik.

Kita juga memohon agar BN melakukan transformasi dalaman dan kembali berjuang berlandaskan semangat dan aspirasi permuafakatan politik yang diamalkannya dahulu. Kebangkitan semula BN amat dinanti-nantikan.

AWANG CAHAYA

Kuala Lumpur