Tidak timbul isu pihak-pihak tertentu mahu mempolitikkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini dengan manifesto Pakatan Harapan. Siapa sebenarnya yang mempolitikkan isu ini?

Merujuk kenyataan menteri berkenaan semalam, jika sudah pinjam, berusahalah untuk membayar. Dalam hal ini, adakah menjadi kesalahan apabila ada pihak yang menyokong kerajaan atau sebaliknya menuntut supaya janji itu ditunaikan? Rujuk semula apa yang berlaku sebelum pilihan raya umum berhubung isu PTPTN ini.

Isu ini tidak wajar dipanjangkan. Adalah lebih baik mengaku kesilapan dan memohon maaf kepada peminjam. Tidak perlu malu atau berdolak dalih lagi.

Peminjam juga tidak mahu membebankan kerajaan dan menjejaskan peluang orang lain membuat pinjaman.

Awang percaya, mereka yang sudah bekerja juga malu jika tidak membayar pinjaman tetapi kerana terpengaruh dengan janji yang dibuat, mereka mengabaikannya. Peminjam yang sudah bekerja mampu untuk membayar balik pinjaman itu walaupun hanya RM10 sebulan. Mereka ini sedia membayar walaupun dibebani dengan pelbagai hutang ketika memasuki alam pekerjaan dan rumah tangga.

AWANG - Sampai harapan rakyat.