Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bina pangkalan data perkahwinan

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disaman sepasang suami isteri baru-baru ini selepas mereka ditangkap dalam satu operasi khalwat pada 8 Januari lalu.

Pasangan yang sudah tiga tahun berkahwin itu mendakwa pegawai penguat kuasa Jawi telah bertindak kasar, tidak menerima salinan sijil nikah sebagai bukti malah telah memalukan si isteri yang dipaksa memakai baju di depan pegawai lelaki.

Perkara ini bukan sahaja memalukan Jawi malah semua umat Islam di negara ini kerana berita ini hangat dimainkan Melayu liberal dan golongan anti-Islam di Malaysia yang telah lama membantah operasi khalwat walaupun hanya terhadap umat Islam.

Saya tidak mahu bercakap panjang tentang kes mahkamah kerana proses perundangan sudah berjalan tetapi saya ingin mencadangkan penambahbaikan terhadap operasi khalwat jabatan-jabatan agama di seluruh negara.

Dengan perkembangan teknologi moden, sepatutnya masalah mengemukakan bukti perkahwinan tidak lagi timbul kerana pasangan bukan sahaja boleh membawa kad pengesahan perkahwinan malah gambar sijil nikah juga boleh dibawa dalam telefon.

Kita sedia maklum Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) iaitu dokumen digital bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan yang dahulunya perlu dibawa untuk memperbaharui cukai jalan.

Mengambil contoh VOC, saya cadangkan satu pangkalan data rekod pernikahan berpusat dibentuk yang boleh diakses semua jabatan agama di seluruh negara dan boleh diperiksa secara terus berdasarkan kod atau nombor siri ketika operasi khalwat.

Pangkalan data berpusat ini juga boleh digunakan jabatan agama untuk mengesahkan status perkahwinan seseorang yang mahu berpoligami bagi mengelakkan kejadian seorang lelaki dibunuh kerana menghalang adik perempuannya mengahwini suami orang di pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu tahun lalu.

Saya juga menyarankan hanya pegawai penguat kuasa wanita yang masuk dahulu dan mengambil gambar serta menemani suspek wanita ketika operasi khalwat sementara pegawai lelaki membawa suspek lelaki ke luar bilik bagi mengelakkan tuduhan mereka menganiayai suspek ketika membuat serbuan.

Sekali pun pasangan belum berkahwin ditangkap khalwat, aurat dan maruah mereka perlu dilindungi khususnya wanita.

Selain memudahkan mengenalpasti pasangan sudah berkahwin, langkah penambahbaikan ini dapat mencegah pegawai penguat kuasa lelaki dituduh mengambil kesempatan seterusnya memalukan jabatan agama dan umat Islam di negara ini.

Beringatlah, musuh-musuh Islam akan menggunakan walau satu kesilapan untuk merosak dan menghapuskan apa sahaja pertubuhan berkaitan Islam.

TOK KADI MODEN

Senawang, Negeri Sembilan

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain