Mereka risau ramai pendokong LGBT, liberal dan anti-Islam di dalam Pakatan Harapan.

Umum ketahui bahawa golongan pendokong lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT), sekular dan liberal ini menyebarkan apa yang mereka yakini kepada orang ramai dengan berani. Ramai kalangan orang Islam marah akan aktiviti yang dilakukan oleh mereka.

Namun bagi saya, mengapa harus bermusuhan dan juga memarahi mereka yang berusaha menyebarkan ideologi dan agenda mereka, kerana pokok pangkal yang harus diteliti adalah diri individu sendiri. Seharusnya, kita sendiri yang bermuhasabah sebelum menuding jari terhadap orang lain.

Persoalan seperti berapa ramai yang marah akan dirinya sendiri apabila tidak menyebarkan ideologi Islam seagresif dan sesemangat mereka adalah perlu kita fikirkan?

Setiap pergerakan dalam sesuatu agama sudah pasti memiliki ideologi tersendiri. Di Malaysia, agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Bagaimanapun, lain-lain agama adalah bebas untuk dianuti dan diamalkan. Hak ini adalah dijamin oleh Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 (2) memperuntukkan “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.”

Secara perbadi saya lebih risau majoriti umat Islam masih berada di zon selesa mengharapkan undang-undang untuk melindungi akidah mereka.

Sudah tiba masanya umat Islam di dalam PKR, UMNO, PAN, DAP, Warisan, Pas dan semua parti politik yang lain menggembleng tenaga bagi menyebarkan nilai dan agenda Islam.

Agenda Islam yang paling utama adalah tauhid dan bukannya sekadar hukum-hakam semata-mata. Keadilan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama, amanah dan keamanan adalah nilai Islam.

Kita perlu risau akan penyebaran ideologi dan agenda mereka tetapi kita perlu lebih risau ramai orang Islam yang mencari alasan untuk berkecuali dalam penyebaran ideologi dalam agama Islam.

Saya lebih risau Islam semakin terhakis dalam kehidupan masyarakat Islam pada hari ini dan semakin ramai hanya pada nama sahaja.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan semoga hati kita semua tergerak untuk sama-sama menyumbang baik menerusi masa, tenaga, bakat dan harta untuk menyebarkan ideologi dan agenda Islam keserata dunia.

AIDA FARZANA 
AB. SAMAD

Universiti Sains Islam Malaysia