Kerajaan negeri ketika itu memperuntukkan sebidang tanah di Bukit Kinding, Tanjung Rambutan sebagai tapak untuk mendirikan rumah mampu milik melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) yang kemudiannya melantik pemaju yang berkenaan membina rumah untuk dijual kepada penjawat awam.

Pembinaan taman perumahan di kawasan Bukit Kinding dilihat mampu merancakkan lagi pembangunan kawasan Chemor yang sebelum ini terkenal dengan kawasan pertanian dan perlombongan.

Seramai 169 orang warga ditawarkan rumah pada harga serendah RM65,000. Kini mereka berasa resah dan buntu terhadap perjanjian jual beli yang ditandatangani pada 2013 yang telah tamat tempoh perjanjian. Rumah itu gagal disiapkan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menyenaraikan projek berkenaan sebagai projek sakit. Para pembeli terbeban untuk membayar pinjaman rumah yang belum siap sepenuhnya itu.

Pada ketika ini, anggaran rumah ini hanya siap 80 peratus dengan kerja-kerja akhir begitu perlahan bergerak.

Dalam konteks ini juga para pembeli mendakwa bahawa pihak SSI selaku tuan punya projek ini juga tidak pernah memaklumkan apa-apa kepada pembeli rumah.

Tidak juga menyatakan punca kelewatan dan jangkaan siap yang sudah berlanjutan selama lima tahun.

Pada masa sama, pembeli juga berasal kesal terhadap pemaju yang memenangi tender terbuka bagi pembinaan Taman SSI Kinding Tanjung Rambutan ini yang dijangkakan berpengalaman dalam kerja-kerja pembinaan serta aspek perundangan serta perkara yang berkaitan tetapi sebaliknya yang berlaku.

Jangkaan bahawa pemaju berupaya merundingkan dengan pihak yang berkenaan seperti Majlis Bandaraya Ipoh, Pejabat Tanah, Pengairan dan Saliran, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Bekalan Air, Telekom Malaysia Berhad, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Tanah dan Galian dan yang berkaitan, amatlah meleset sama sekali.

Dalam konteks ini, SSI disarankan untuk memikul tanggungjawab kerana memilih pemaju yang tidak kompeten dan tidak berdaya saing melaksanakan kerja dengan teratur dan sempurna. Jika dibuat perbandingan bangunan yang lebih rumit seperti Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur pun dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun (1992-1998). Bangunan tertinggi di dunia pada abad ke-20 memegang gelaran bangunan tertinggi di dunia dari 1992 hingga 2004.

SSI perlu merundingkan bersama pemaju dan pembeli bagi mewujudkan situasi menang-menang supaya tidak timbul isu di kemudian hari serta dicari apakah langkah penyelesaian bagi meredakan konflik antara pemaju dan pembeli rumah.

Hanya kerana pemaju yang tidak kompeten kerajaan negeri disalahkan. SSI perlulah lebih berhemah dalam memastikan pembeli yang merupakan penjawat awam berpendapatan rendah mendapat pembelaan sepenuhnya.

Alasan pemaju sering menuding jari kepada pihak-pihak yang berkaitan sebagai penyebab kelewatan pojek ini tidak dapat diterima oleh para pembeli memandangkan pembinaan projek ini sudah masuk tahun kelima.

Tindakan susulan daripada para pembeli telah dibuat, namun pelbagai alasan diberikan oleh pihak pemaju malahan pihak Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak juga gagal memberikan ketetapan tarikh siap rumah.

Pembeli rumah ini adalah dalam kalangan golongan B40 iaitu menerima pendapatan isi rumah RM3,000 sebulan. Pembeli juga dibebani untuk membayar cukai tanah sejak 2015 oleh Pejabat Daerah Kinta walaupun rumah belum diduduki.

Benar mengikut Kanun Tanah Negara (KTN) pembeli perlu bayar cukai tanah tetapi masalah di hadapi adalah rumah yang dibina atas tanah tersebut masih belum siap.

PEMBELI BUNTU

Ipoh, Perak