Persoalannya, kini sudah melewati PRU-14 pula, tetapi belum ada tanda-tanda untuk segera dibuka bagi kemudahan pengguna membeli keperluan harian di pasar pagi itu.

Tinjauan saya ke lokasi bangunan pasar bertingkat itu baru-baru ini menyaksikan pembinaannya berjalan amat perlahan.

Justeru pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) perlu bertindak segera secara proaktif turun ke lapangan memantau bagi mengatasi masalah tersebut.

Lagi pun pembinaan pasar Pandan Jaya itu berada dalam kawasan Parlimen Pandan yang diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan tidak patut dipandang sepi oleh PBT berkenaan.

Bangunan pasar baharu Pandan Jaya itu dibina di atas tapak pasar pagi terdahulu. Ekoran pembinaan tersebut, para peniaga berbilang kaum dipindahkan ke tapak pasar sementara di atas tapak parkir berdekatan Stesen LRT Pandan Jaya dalam keadaan tidak selesa kepada peniaga mahu pun pengunjung.

Sehubungan itu, diharap kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) lebih bermotivasi dalam menjaga kebajikan rakyat yang telah memberi mandat besar dalam PRU-14 lalu dengan harapan pentadbiran menjadi lebih cekap dan berkesan.

PENGUNJUNG PASAR

Pandan Jaya