Seperti biasa, kekalutan itu berakhir dengan peminat pulang hampa dan ada juga yang pengsan tetapi ulat tiket terus bermaharajalela.

Barangkali salah satu alternatif ialah penjualan tiket perlu dilakukan di seluruh stadium setiap negeri, sekurang-kurangnya peminat tidak perlu turun ke Stadium Bukit Jalil memandangkan terdapat peminat fanatik yang datang dari luar Lembah Klang terpaksa pulang hampa.

Agihan di seluruh negeri mampu mengurangkan masalah ulat tiket dan monopoli oleh mereka yang suka mengambil kesempatan. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) barangkali perlu meniru dari negara-negara Eropah yang menjual tiket secara bermusim dan pukal kepada peminatnya.

FAM sepatutnya merangka strategi awal bagi mengelakkan peristiwa ini berulang lagi pada masa-masa akan datang. Adakah FAM tidak belajar daripada kesilapan lalu sepertimana ketika perebutan tiket menjelang final Piala Malaysia saban tahun?

Pembelian secara dalam talian wajar diteruskan tetapi mekanisme penambahbaikan perlu ada, misalnya setiap pembeli wajib mendaftar dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan menyertakan alamat lengkap bagi memastikan identiti mereka dapat direkodkan.

Selain itu ia perlu dikenal pasti untuk memudahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan sekiranya ada ulat tiket menjual pada harga melampau.

Dalam konteks lain, saya ingin mengesyorkan agar penjualan bilik orang kenamaan (VIP) di stadium perlu dilaksanakan melalui konsep jualan secara lelong atau membida. Syarikat korporat yang menawarkan harga tertinggi secara tidak langsung membantu pengurusan stadium menjana pendapatan.

Konsep lelong atau membida wajar dilaksanakan hanya ketika kemuncak, misalnya perlawanan akhir Piala Malaysia dan juga Piala AFF Suzuki.

BOLA GETAH

Putrajaya