Langkah itu perlu dalam usaha memastikan tiada mana-mana agama selain Islam disebarkan secara sewenang-wenangnya di negara ini. Penganut bukan Islam perlu sedar bahawa Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada Persekutuan dan undang-undang negeri untuk menyekat apa-apa doktrin atau kepercayaan agama lain dalam kalangan orang Islam.

Dengan kata lain, mereka berhak menganuti dan mengamalkan agama masing-masing tetapi tidak boleh menyebarkan anutan atau agama mereka kepada orang Islam. Isu ini timbul ekoran berlakunya kejadian mengedar Bible oleh pihak tidak bertanggungjawab di utara tanah air.

Kelmarin, empat individu warganegara Finland ditahan polis selepas disyaki menyebarkan risalah Bible kepada umat Islam di sekitar pulau peranginan tersebut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof pada 6 November lalu turut mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Perkembangan ini amat membimbangkan. Justeru. tindakan berani mereka itu perlu dihentikan serta merta dan antaranya dengan menggunakan kuasa undang-undang melalui penggubalan enakmen seperti mana diperuntukkan dalam Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Bagi saya perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana kita khuatir akan terdapat masyarakat Islam terutama anak-anak yang terpengaruh. Ini soal akidah yang tidak boleh dikompromi sama sekali. Soal tauhid menjadi asas dalam agama. Rosak akidah maka rosaklah agama.

Kepada negeri-negeri yang masih belum menggubal enakmen yang diperuntukkan ini seperti Pulau Pinang, tolonglah segera melakukannya demi menyelamat akidah umat Islam daripada dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

LEBAI KAMPUNG

Johol