Secara umumnya pandangan itu mungkin mengundang kekeliruan tetapi apa yang dikatakan beliau ada kebenarannya. Beliau memberi contoh minum arak, sekiranya dibuat secara tertutup itu adalah antara individu terbabit dan tuhannya tetapi jika secara terbuka adalah satu kesalahan dan boleh ditangkap serta dikenakan hukuman.

Begitu juga dengan LGBT, jika dilakukan secara tertutup seperti dalam rumahnya sendiri tanpa pengetahuan sesiapa khususnya pihak berkuasa, maka itu adalah antara dia dan tuhannya (bergantung kepada agama masing-masing).

Namun, jika dianjurkan secara terbuka maka itu adalah satu kesalahan di bawah undang-undang khususnya melibatkan liwat yang masih menjadi satu kesalahan di negara ini dan pelaku boleh dikenakan tindakan.

Saya setuju jika ada usaha untuk menarik kembali golongan LGBT ke pangkal jalan dan tidak terlalu fokus kepada menghukum mereka.

Pada masa sama, saya berharap kerajaan dan juga pihak media tidak memberi muka kepada mereka yang mempromosikan gaya hidup songsang dalam negara Islam ini.

BERSANGKA BAIK

Klang, Selangor