Rakyat Malaysia juga telah membuktikan bahawa pertukaran kuasa boleh dibuat secara aman tanpa sebarang provokasi dan tindakan agresif yang biasanya terjadi di negara-negara lain. Ini adalah petanda bahawa rakyat telah matang dalam memikirkan kesan akibat sesuatu tindakan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketujuh acapkali menegaskan ingin mengangkat kembali undang-undang sebagai asas mentadbir negara selepas mengecapi kemenangan.

Dalam pertemuan kali pertama dengan penjawat awam, beliau mengulanginya dengan berkata; “Kita perlu hormati Perlembagaan Negara kita ini yang sekian lama telah berjaya menyusun pentadbiran dalam negara kita. Sebab itu kita perlu mengadakan pentadbiran yang mengutamakan undang-undang negara.”

Ucapan Dr. Mahathir perlu diberi perhatian seluruh penjawat awam khususnya anggota Kabinet yang telah dilantik. Ucapan ini telah mengingatkan kita kepada Rukun Negara yang dibentuk untuk menjamin perpaduan rakyat dan keamanan negara.

Keluhuran Perlembagaan ialah rukun ketiga yang diangkat dalam ucapan berkenaan diikuti dengan rukun keempat iaitu Kedaulatan Undang-undang. Jemaah menteri kini ialah orang pertama yang perlu memelihara dan melaksanakan Rukun Negara.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah salah satu daripada dasar yang perlu dilaksanakan jemaah menteri sebagai bukti kesungguhan mereka memelihara Rukun Negara.

Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi maksud rasmi yang merujuk kepada urusan Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Kebenaran menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi dinyatakan dalam Perkara 152 hanya terhad kepada tempoh 10 tahun selepas merdeka. Malaysia sudah 60 tahun merdeka, justeru bahasa Melayu seharusnya sudah mantap digunakan sepenuhnya dalam urusan rasmi.

Malangnya kerajaan terdahulu telah membelakangkan Perkara 152 apabila menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi mesyuarat di pejabat-pejabat rasmi.

Nama singkatan kementerian juga lebih dikenali dengan nama terjemahannya dalam bahasa Inggeris. Begitu juga dengan kelulusan nama-nama projek perumahan baharu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih mengagungkan nama Inggeris.

Kebiadapan ini berterusan apabila ahli-ahli Parlimen tidak lagi meminta izin untuk menggunakan bahasa Inggeris ketika Dewan Rakyat bersidang. Begitu juga apabila kenyataan rasmi dalam sidang media dibuat tanpa menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya.

Padahal persidangan kali pertama 138 Ahli Parlimen Belia Malaysia (APBM) yang diadakan pada 24 dan 25 Mei 2017 di Dewan Rakyat Sementara telah membangkitkan isu ini dan mengusulkan agar bahasa Melayu dimartabatkan hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan mewujudkan suara belia ini sebagai simbolik mendengar rintihan generasi muda sedangkan tiada usaha susulan dilakukan dengan serius.

Walaubagaimanapun, sememangnya diakui bahawa bercakap menggunakan ‘bahasa rojak’ sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk percakapan harian. Berkemungkinan para pemimpin juga berterusan menggunakan ‘bahasa rojak’ sebagai salah satu pendekatan mesra rakyat.

Jika jemaah menteri meneruskan sikap yang sama dengan kerajaan terdahulu dalam isu bahasa Melayu, negara ini tidak lagi mempunyai harapan lebih tinggi untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu yang dipertuturkan oleh 281 juta anggota masyarakat dunia.

Sekurang-kurangnya usaha yang perlu dibuat oleh pemimpin hari ini ialah membiasakan diri memberikan ucapan dan mengendalikan mesyuarat dalam bahasa Melayu sepenuhnya.

Sudah tentu terdapat sedikit kejanggalan atau kesilapan dalam menentukan perkataan yang sesuai dan tepat tetapi ini tidak akan berterusan jika usaha itu menjadi kelaziman.

Peranan yang pernah dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 2012 dengan memperkenalkan Program Audit Bahasa elok diperkasakan sebagai instrumen semak dan imbang (check and balance) untuk badan-badan kerajaan dan PBT.

Begitu juga dengan sistem Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan yang sewajarnya giat dilaksanakan. Selain Perkara 152, kepentingan bahasa Melayu juga jelas dinyatakan dalam Dasar Bahasa Kebangsaan yang turut disokong Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Perkara 38 Dasar Pendidikan Kebangsaan turut menzahirkan perihal Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Justeru, mengangkat martabat bahasa Melayu tidak seharusnya dilihat sebagai mengenepikan kepentingan bahasa Inggeris yang merupakan salah satu bahasa utama dunia.

Bahasa Inggeris akan kekal sebagai bahasa kedua yang perlu dikuasai rakyat Malaysia menerusi penambahbaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek itu sendiri di peringkat awal pendidikan lagi.

MUHAMMAD SUHAIL AHMAD

Pengerusi Grup 
Penjejak Tamadun Dunia

Sesetengah istilah Inggeris dikatakan lebih menepati kehendak penutur dalam menyampaikan maksud sebenar mesej. Namun, situasi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan ‘bahasa rojak’ digunakan oleh para pemimpin negara.

Sifat bahasa itu berkembang seiring dengan perubahan masa dan zaman. Istilah seperti tunafoto (photobomb), swafoto (selfie), pengkomputeran awan (cloud computing), tera air (watermark), butang tekan (push button), emotikon (emoticon), kawasan khas (hotspot} dan tapak panas (hotsite) adalah antara istilah baharu yang diperkenalkan. Walaupun istilah-istilah ini kelihatan janggal, ia akan diterima umum sekiranya sering digunakan.

Jemaah menteri merupakan model ikutan rakyat yang kerap dipaparkan dalam media cetak, media elektronik dan media sosial. Setiap kata yang diucapkan dan ditulis merupakan salah satu kaedah berkesan dalam mendidik rakyat. Bahkan kata-kata yang baik biasanya menjadi ikutan ramai dan cepat tersebar di kalangan masyarakat yang celik teknologi pada hari ini.

Pujian seharusnya diberikan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang boleh dijadikan teladan buat menteri-menteri lain. Kepetahan beliau bercakap dalam bahasa Melayu dalam program Bicara Khas Menteri di TV1 pada 22 Mei lalu amat ketara.

Walaupun beliau juga fasih bertutur dalam bahasa Inggeris, Gobind tetap berusaha menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam program berkenaan.

Kebanyakan bahasa yang pupus adalah disebabkan oleh generasi pewaris mula bercakap dwibahasa dan mula hilang kefasihan bertutur dalam bahasa ibunda. Proses ini sedang berlaku terhadap bahasa Melayu Pattani seperti yang dilaporkan oleh UNESCO yang meletakkan bahasa ini dalam senarai Bahasa-bahasa Yang Terancam Di Dunia.

Bahasa Katabangan yang pernah dituturkan penduduk di Luzon, Filipina telah pupus apabila penutur asalnya telah menggunakan bahasa Tagalog sepenuhnya. Bahasa Katabangan yang berasal dari rumpun bahasa Melayu-Polinesia ini tidak mengalami nasib sebaik bahasa Hebrew.

Walaupun bahasa Hebrew pernah pupus pada abad kedua Masihi, ia dapat dikembalikan pada abad ke-19 dan ke-20 hasil usaha Eliezer Ben Yehuda mengembalikan pertuturan bangsa Yahudi menggunakan bahasa Hebrew. INi adalah suatu kejayaan yang bersandarkan kepada semangat nasionalisme.

Semangat Malaysia baharu kini kelihatan mampu menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat. Bahasa Melayu tidak patut berakhir hayatnya seperti bahasa Katabangan mahupun menunggu ia pupus seperti bahasa Hebrew barulah dihidupkan semula.

Semangat nasionalisme yang membara kini patut ditiup untuk menyemarakkan usaha memartabatkan bahasa Melayu. Memartabatkan bahasa Melayu adalah usaha semua anggota masyarakat yang mengaku sebagai rakyat Malaysia.

Namun, para pemimpin negara lebih utama dalam mengangkat usaha ini agar dapat digembleng oleh segenap masyarakat. Jika pemimpin mula membiasakan bertutur dalam bahasa Melayu, para wartawan juga akan mulai mengikut rentak. Begitulah seterusnya akan berlaku dalam setiap lapisan masyarakat.

MUHAMMAD SUHAIL AHMAD

Pengerusi Grup Penjejak Tamadun Dunia