Setelah banjir kilat terburuk dalam sejarah di negeri itu, akhirnya Kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui bahawa mereka berdepan dengan krisis sosial dan alam sekitar.

Masalah itu perlu di­tangani. Dalam usaha memastikan ia tidak berulang, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa beberapa tindakan perlu diambil oleh kepemimpinan negeri itu:

* Memperuntukkan lebih banyak dana untuk memulih dan memperbaiki kerosakan cerun bukit serta memulihkan semula sungai supaya ia boleh mengalir dengan sempurna.

* Memperuntukkan lebih ramai kakitangan untuk memeriksa cerun bukit dan tanah bersebelahan bukit serta mengambil langkah pencegahan.

* Menuntut dan memastikan pemaju swasta mengambil langkah pencegahan tambahan dan jika gagal berbuat demikian atau hujan di masa depan menyebabkan masalah sama, mereka mestilah didakwa di mahkamah dan dikenakan denda.

* Meneliti kekurangan dan kelemahan dalam undang-undang dan garis panduan bagi kualiti alam sekitar, pembangunan tanah bukit, saliran yang mencukupi dan mengambil tindakan untuk menangani kekurangan dan kelemahan ini.

* Menghentikan semua kerja di kawasan cerun bukit atau tanah bukit tidak kira tanah dan cerun ini di bawah atau melebihi 250 kaki sehingga semakan semula dilakukan ke atas semua projek dan aktiviti di kawasan ini.

* Menghentikan semua kerja yang sedang dijalankan di kawasan tanah bersebelahan cerun bukit atau tanah bukit yang berisiko mengalami hakisan dan tanah runtuh.

* Semua projek yang diluluskan di atas tanah bukit dan di tanah bercerun tidak kira sama ada di bawah atau melebihi 250 kaki hendaklah ditangguh dan disemak semula serta langkah tambahan hendaklah dikenakan untuk memastikan ia selamat dan diperkuatkan dengan penguatkuasaan untuk memantau projek ini.

* Menghentikan semua projek baharu di tanah bukit dan cerun bukit dan di tanah bersebelahan cerun bukit tidak kira sama ada ia di bawah atau melebihi 250 kaki.

* Memastikan tiada pembangunan dilakukan di kawasan rizab sungai.

* Meneliti semula kaedah diambil dalam perancangan negeri serta perancangan dan penilaian projek serta proses kelulusan oleh pihak berkuasa perbandaran. Mereka mestilah meletakkan kepentingan orang ramai dan alam sekitar mengatasi kepentingan pemaju.

Sementara itu, Kerajaan Persekutuan juga mestilah memainkan peranan utama termasuk memperuntukkan dana kecemasan bagi Pulau Pinang menangani masalah cerun bukit berisiko, tanah runtuh dan banjir.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga mestilah mengukuhkan dengan segera aktiviti mereka sendiri di kawasan di mana ia adalah bidang kuasanya seperti mengenakan penilaian kesan alam sekitar terhadap projek dan menjalankan tanggungjawab terhadap proses kelulusan dengan serius serta memantau kesan alam sekitar daripada projek yang dimajukan.

 

S.M MOHAMED IDRIS

Presiden SAM