Baru-baru ini, negara agak kecoh mengenai isu papan tanda jalan tulisan Cina di Selangor sehingga mendapat campur tangan Sultan Selangor. Isu seumpama ini memberi iktibar bahawa tiada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi seperti mana yang dimaktubkan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Dalam akta ini amat jelas bahawa bahasa Melayu perlu digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda jalan. Penggunaan tulisan dan bahasa pada papan tanda jalan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT). PBT hendaklah menjalankan tugasnya tanpa unsur politik dan mengutamakan penggunaan Bahasa Kebangsaan.

Selain isu penggunaan bahasa Cina, kesalahan ejaan dan struktur ayat bahasa Melayu juga telah lama berlaku dan tiada siapa pun yang cuba untuk menyelesaikannya. Ini dapat dilihat di papan-papan iklan perdagangan sehingga menjadi bahan lawak dalam media sosial dan sindiran sinis kepada penggiat bahasa.

Selain itu, penggunaan bahasa Inggeris pula ditulis besar tetapi bahasa Melayu ditulis dengan saiz kecil. Ia seolah-olah ‘kehadiran’ bahasa Melayu hanya melukut di tepi gantang.

Dalam hal ini, dimanakah peranan PBT dalam mendau­latkan bahasa Melayu? Di manakah sikap penggiat industri dalam memastikan bahasa Melayu ditulis dengan betul dan menepati Kamus DBP?

Jika tiada usaha-usaha drastik dilakukan, bahasa Melayu tidak lagi menyinar dan berkubur begitu saja. Para pemimpin kerajaan perlulah peka dalam isu ini. Tidak guna kita hanya berpura-pura mengagungkan bahasa Melayu dalam pentas pantun, bulan bahasa, wacana dan sebagainya tetapi secara hakikatnya kita beransur-ansur menghilangkan martabatnya. Jati diri sesuatu bangsa itu dapat dilihat sejauh mana mereka mengguna dan menyantuni bahasa mereka sendiri.

TANDA TANYA

Taman Seberang, Temerloh