Kejadian berlaku di lampu isyarat simpang Jalan Kepong (dari arah Kuala Lumpur) - Jinjang kira-kira pukul 12 tengah malam, pada Sabtu lalu.

Ketika kejadian saya memandu bersendirian. Semasa berhenti di lampu isyarat itu, tiba-tiba sebuah kereta menghimpit di sisi kereta saya sebelum cermin gelap kereta berkenaan diturunkan dan beberapa lelaki berketurunan India di dalamnya merenung saya dengan pandangan menakutkan. Saya dapat merasakan ada niat jahat di sebalik tindakan mereka itu.

Mujur kemudian ada kereta lain menghampiri dari arah belakang sebelum lampu isyarat bertukar hijau. Apa yang saya musykil mengapa masih banyak kereta di negara ini menggunakan cermin yang sangat gelap?

Jika keadaan ini dibiarkan, dikhuatiri banyak samseng dan penyangak mengambil kesempatan menggunakan cermin gelap untuk mengelak daripada dikesan atau lihat termasuk melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Sudah sampai masanya pihak berkuasa terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama polis menguatkuasakan larangan penggunaan cermin gelap sesuka hati. Dasar dan peraturan penguatkuasaan yang lemah serta bercelaru hanya membawa banyak implikasi negatif termasuk mendorong kegiatan jenayah.

Bengkel-bengkel dan pusat aksesori kereta perlu dipantau bagi mengelakkan kegiatan pemasangan cermin gelap melebihi had terus berleluasa. Saya harap JPJ dan polis benar-benar bertegas dalam hal seperti ini.

NORIDA YOM

Taman Beringin, 
Jinjang Utara, Kuala Lumpur