Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Bersyukur dengan nikmat kemerdekaan

RAKYAT seharusnya bersyukur kerana kemerdekaan telah membolehkan 2
RAKYAT seharusnya bersyukur kerana kemerdekaan telah membolehkan mereka hidup dalam suasana moden dan aman. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

PERNAHKAH kita terfikir, sejauh mana nikmat kemerdekaan yang dikecapi sekarang benar-benar menjadikan kita sentiasa bersyukur? Tidak perlu berfikir jauh, tetapi hanya bersyukur dalam konteks kehidupan seharian kita.

Sememangnya manusia tidak pernah puas dengan apa dimiliki, tetapi mereka seharusnya bersyukur kerana kemerdekaan telah membolehkan masyarakat di negara ini hidup dalam suasana moden dan aman.

Sehubungan itu, saya berharap rakyat mengubah sikap mereka supaya mempunyai pemikiran yang melambangkan orang merdeka iaitu dengan mengamalkan segala sikap dan perlakuan terpuji.

Buanglah sikap hasad dengki atau tidak senang dengan kejayaan dan kebahagiaan orang lain.

Sekiranya hati dipenuhi sikap benci dan dendam, maka segala kebaikan dilaksanakan oleh kerajaan yang memerintah seperti pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta sistem pengangkutan awam moden akan dilabelkan sebagai zalim dan membazir.

Inilah pemikiran sempit dan gopoh yang akhirnya membawa konflik sesama manusia khususnya yang berlainan fahaman politik, walaupun Islam tidak mengajar sikap sedemikian.

Agama mendidik supaya kita sentiasa mengukuhkan persaudaraan. Jika berlaku perselisihan antara satu sama lain, hendaklah bermuzakarah dengan bijaksana supaya sikap ego dan merasakan aku sahaja yang benar tidak berterusan. Itu tanda orang tidak bersyukur dan ini bukan jiwa individu merdeka.

Implikasi jiwa tidak merdeka akibat penyakit hasad dengki boleh merosakkan hubungan silaturahim antara sahabat, jiran dan rakan sekerja. Lebih membimbangkan apabila pemikiran itu menyumbang kepada timbulnya pelbagai sikap keji seperti menggunakan media sosial untuk memburuk-burukkan dan memfitnah kerajaan serta rakyat Malaysia lain.

Bayangkan jika perkara itu berterusan dan menular kepada seluruh anggota masyarakat, sudah tentu akan memporak-perandakan negara.

Oleh itu, sebagai permulaan untuk membuang sikap hasad dengki adalah dengan tidak berasa iri hati apabila ada dalam kalangan rakan sejawat yang dinaikkan pangkat ataupun beroleh laba lumayan hasil perniagaan diusahakan.

Seharusnya kejayaan mereka itu menjadi motivasi kepada kita semua untuk berusaha dan bersungguh-sungguh dalam apa jua bidang diceburi tanpa berasa dengki dan cemburu atas nikmat diperoleh orang lain.

Selain itu, kemerdekaan juga memberikan kita pelbagai kelebihan lain termasuk menjadi bangsa yang mempunyai harga diri dan bermaruah.

Sehubungan itu, sempena enam dekad kita meraikan tarikh mencapai kemerdekaan, marilah kita sama-sama mencatatkan pelbagai kejayaan lain seperti yang telah dipamerkan oleh para atlet yang meraih pingat emas terbanyak pada temasya Sukan SEA Ke-29.

Banyak lagi kejayaan lain yang boleh dicapai dalam pelbagai bidang seperti perniagaan dan pendidikan serta melakukan penemuan sains terbaharu dan mencipta teknologi canggih.

Untuk membolehkan kejayaan itu dicapai, kita perlu berusaha mengekalkan kemerdekaan sedia ada.

Ini boleh bermula dengan diri sendiri seperti sentiasa mengamalkan kesepakatan, permuafakatan dan perpaduan utuh sesama rakyat.

INDAH KHAIRI (ANAK FELDA)

Johor

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain