Namun, saya masih meragui sejauh mana kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dapat menguatkuasakan peraturan ini memandangkan larangan merokok di bangunan kerajaan khususnya hospital juga masih gagal ditangani.

Jika sekadar mengharapkan pegawai Kementerian Kesihatan memantau dan mengeluarkan ‘saman’, saya pasti tiada seorang pun perokok tegar akan gentar atau melayan larangan tersebut.

Adalah lebih baik jika diwujudkan satu kesinambungan kerjasama antara agensi khususnya polis dan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membolehkan mana-mana penguat kuasa ini mengeluarkan ‘saman’ terhadap perokok yang ingkar.

Sudah penat menasihati, sudah letih menunggu penguatkuasaan, jika kerajaan benar-benar mahu laksanakan larangan merokok ini buatlah dengan bersungguh-sungguh dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam seperti dahulu.

Sudahlah para isteri dan anak terpaksa berdepan asap rokok di rumah, jadikanlah tempat awam sebagai zon selamat bagi kami melarikan diri buat sementara waktu daripada kepulan asap rokok.

ISTERI BERASAP

Johor Bahru