Purata tahunan taburan hujan di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 2,500 milimeter (mm) manakala Sabah dan Sarawak menerima purata taburan hujan tahunan sebanyak 3,500 mm.

Jumlah hujan tertinggi kebiasaannya dicatatkan pada musim tengkujuh yang bermula pada penghujung Oktober sehingga penghujung Februari tahun hadapan.

Musim tengkujuh ini mengakibatkan hujan turun berterusan selama beberapa hari tanpa henti.

Berdasarkan data daripada Jabatan Meteorologi Malaysia, taburan hujan luar biasa juga akan berlaku pada November sehingga Disember menyebabkan beberapa kejadian banjir di Kelantan dan Terengganu.

Sepanjang tempoh tersebut, keadaan cuaca yang lembap dengan curahan hujan yang banyak dijangka berlaku di kebanyakan tempat di dua negeri tersebut.

Selain itu, hujan lebat juga dijangka melanda kawasan barat Sabah dan Sarawak.

Keadaan boleh menjadi lebih kritikal sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang.

Ini disebabkan pertembungan angin kencang, hujan lebat dan air laut pasang mempercepatkan kenaikan air akibat limpahan air sungai yang tidak dapat mengalir ke laut.

Malah pada tahun ini, beberapa model iklim antarabangsa menjangkakan kebarangkalian fenomena El-Nino berlaku dalam beberapa bulan akan datang dan berterusan hingga Mac 2019 adalah agak tinggi iaitu sekitar 70 sehingga 75 peratus.

Oleh itu, penduduk di negeri yang berhadapan dengan musim tengkujuh harus mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh ini.

Beberapa langkah keselamatan awal perlulah dibuat sebelum bencana banjir melanda kawasan yang sering banjir.

Antara langkah yang boleh diambil adalah memindahkan barang-barang berharga ke tempat lebih tinggi dan selamat.

Selain itu dapatkan maklumat banjir di kawasan tersebut seperti tempat pusat pemindahan banjir, penyediaan bekalan makanan serta peralatan kecemasan secukupnya serta pastikan alat komunikasi dapat berfungsi dengan baik.

Selain itu, penduduk di kawasan banjir dan orang awam perlulah sentiasa peka dengan setiap amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.

AZINOOR AZIDA 
ABU BAKAR

Johor