Orang Melayu perlu ingat bahawa sekiranya perpaduan dalam kalangan mereka menjadi lemah dan berpecah belah dalam politik, maka akan berlaku asakan yang kuat daripada golongan yang mahu melihat institusi beraja di negara ini berkubur dan terus tinggal sebagai bahan sejarah di muzium.

Justeru, titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah baru-baru ini bahawa orang Melayu mesti bersatu supaya mereka menjadi kuat dan teguh, penting untuk difahami dan disedari.

Sekiranya bangsa Melayu masih terus bercakaran, suka menconteng arang sesama sendiri dan mudah diadu domba secara halus oleh golongan yang mempunyai agenda jahat terhadap bumi Melayu, maka bangsa ini akan menjadi lemah dan ‘mati’ sehingga akhirnya tanah leluhur ini menjadi milik orang lain.

Oleh itu, orang Melayu harus terus menjadikan institusi raja sebagai tempat penyatuan ummah kerana melalui institusi ini bukan sahaja bangsa Melayu akan dapat bertahan di bumi sendiri tetapi juga Islam dapat didaulatkan berasaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Walaupun institusi raja tidaklah mempunyai kuasa yang mutlak, namun dengan kedudukan baginda sebagai pemelihara hak keistimewaan orang Melayu dan ketua agama Islam, sudah cukup untuk memelihara kedudukan bangsa, agama dan tanah air.

Syaratnya, Melayu mesti bersatu dengan menjauhi sifat-sifat terkeji yang boleh melemahkan kesatuan dan merosakkan bangsa.

MOHD. AYOP

Selangor