Kami mendesak agar jabatan pendidikan negeri serta majlis-majlis agama negeri mengambil tindakan serius dan membuat pemerhatian secara menyeluruh bagi memastikan keselamatan murid dan pelajar sentiasa terjaga dan diutamakan.

Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pinta) juga dimohon segera mewujudkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk menyiasat punca berlakunya jenayah sebegini di sebuah tempat yang masyarakat sama sekali tidak menjangka berlakunya penderaan seksual.

Wafiq amat menyokong pembelajaran dan penghafazan al-Quran kepada anak-anak tetapi dalam era hypersexuality serta globalisasi internet yang membenarkan akses terhadap bahan lucah tanpa sekatan malah bilangan pedofilia yang semakin meningkat, pusat pengajian tahfiz hendaklah lebih berwaspada sementara pihak pengurusan lebih peka dalam pemilihan tenaga pengajar, individu yang keluar masuk mahupun petugas memantau pelajar.

Selain itu, penting untuk pihak pengurusan mewujudkan saluran bagi pelajar membuat aduan malah perlu dijelaskan kepada setiap pelajar semasa sesi taklimat atau orientasi agar mereka tahu apa yang patut dilakukan jika insiden sebegini berlaku.

Pihak pengurusan juga perlu membenarkan ibu bapa lebih kerap melawat anak-anak di pusat pengajian tahfiz. Ibu bapa hendaklah sentiasa kekal rapat dengan anak-anak, terutamanya sepanjang mereka berada di asrama.

Penting bagi ibu bapa memahami dan menguasai pendidikan seksual kanak-kanak dalam memastikan anak dapat mengenalpasti sentuhan fizikal yang selamat atau tidak, terutamanya sebelum anak-anak dihantar ke asrama.

Perbincangan mengenai sentuhan fizikal haruslah bermula di rumah, tidak kira di mana anak-anak kita bersekolah. Falsafah memuliakan pendidik juga perlu kekal namun ibu bapa masih wajib mengawasi dan sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak.

Wafiq bersedia menggembleng tenaga bersama pusat-pusat tahfiz bagi memberi pendedahan tentang pendidikan seks terkini dan masalah orientasi seks songsang kepada pelajar, ibu bapa dan tenaga pengajar, selaras dengan syariat Islam.

Yang penting, generasi masa hadapan kita bebas daripada penderaan seksual oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Kajian menunjukkan mangsa penderaan seksual berisiko menjadi pelaku liwat kelak. Kita harus tegas menghentikan kitaran ini.

PROFESOR MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR

Presiden Wafiq