Slogan Bangkit Bersama atau Rising Together menjelang temasya sukan terbesar di Asia Tenggara telah dipilih oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam usaha mempromosikan Sukan SEA selain menyemarakkan semangat para atlet untuk mengulangi kembali kejayaan seperti mana yang pernah dilakarkan pada 2001.

Lokasi utama penganjuran kali ini iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil, turut diberi nafas baharu dalam usaha menjadikannya sebagai hab sukan negara yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Sport City pada 2021.

Kebanyakan lokasi penganjuran juga telah melalui proses penjenamaan semula seperti Stadium Putra secara rasminya dikenali dengan nama baharu iaitu Axiata Arena setelah projek pembangunan semula stadium berkenaan selesai hasil kerjasama antara Perbadanan Stadium Malaysia dan Kumpulan Axiata Bhd.

Pembinaan Velodrom Nasional bertaraf dunia di Nilai, Negeri Sembilan mampu dimanfaatkan secara maksimum bagi projek pembangunan sukan trek berbasikal dalam memastikan Malaysia tidak ketandusan atlet pada masa depan susulan kejayaan Azizul Hasni Awang menjadi juara Keirin dunia pada tahun ini.

Baru-baru ini, Larian Baton Bangkit Bersama telah menamatkan jelajah di Singapura setelah merentas sembilan bandar negara peserta bertanding sebelum baton tersebut dibawa pulang ke Malaysia di hentian terakhirnya, iaitu di bandar raya Johor Bahru.

Ini jelas mencerminkan semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan rakyat Asia Tenggara melalui sukan. Program seperti ini boleh dijadikan sebagai satu platform terbaik dalam menyatukan rakyat merentasi sempadan bangsa, agama dan negara di samping dapat menyemai dan melahirkan masyarakat yang sihat juga produktif.

Selain itu, Larian Obor juga telah memulakan jelajah awal di Johor Bahru meliputi jarak sejauh 665.33 kilometer yang merentasi seluruh negara dan melalui pelbagai lokasi ikonik serta monumen di semua negeri.

Ikoniknya, obor tersebut akan dibawa mendaki ke Gunung Kinabalu di Sabah, berhenti di Taman Negara Mulu di Sarawak, diangkat terbang dengan Wau Bulan gergasi di Kelantan, dibawa menyelam di Pulau Perhentian dan terjun (base jump) daripada Menara KL di Kuala Lumpur.

Pembawa obor larian ini sehingga tamat akan terdiri dari pelbagai individu yang melambangkan kepelbagaian masyarakat Malaysia selain turut melibatkan golongan kelainan upaya untuk berkongsi keterujaan secara bersama.

Selain itu, kementerian juga mengambil inisiatif bagi individu yang berbakat untuk menyumbang idea dalam mencipta lirik lagu tema KL2017. Dua selebriti tanah air telah dilantik menjadi peneraju usaha ini, iaitu komposer legenda Datuk Ramli MS dan penyanyi Dayang Nurfaizah.

Merujuk kepada artikel Mahasiswa Sehati Sejiwa penulisan Profesor Madya Dr. Ahmad Esa, konsep sehati sejiwa atau kebersamaan boleh difahami sebagai semangat kekitaan, persefahaman dan kepunyaan seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan agama, bahasa dan warna kulit.

Konsep tersebut boleh dipupuk dalam konteks sukan apabila kita berani merubah tradisi sukan yang berdasarkan perkauman. Berdasarkan semangat Bangkit Bersama dalam merealisasikan konsep perpaduan, masyarakat Melayu dan India sewajarnya bermain bola keranjang dengan masyarakat Tionghua.

Masyarakat Tionghua dan India pula serlahkan bakat dalam permainan sepak takraw bersama masyarakat Melayu. Proses asimilasi dalam sukan antara berlainan­ kaum membolehkan semangat kebersaman bahawa bola keranjang dan sepak takraw adalah permainan yang dimiliki bersama.

Kesimpulannya, tema Bangkit Bersama atau Rising Together sangat bertepatan untuk menterjemah konsep bahawa di Malaysia ini segala-galanya adalah milik bersama.

MUHAMMAD SHAHRUL NAIM

Pelabuhan Klang, Selangor