Setiap perkataan dan perbuatan sunnah Rasulullah SAW mempunyai kelebihan dan ganjaran bagi yang mengamalkannya. Kelebihan bagi mereka yang bersahur antaranya Rasulullah SAW bersabda:

“Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada berkat.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah)

Melalui hadis ini, amalan bersahur boleh dikaitkan dengan rahmat dan berkat yang dikurniakan Allah SWT ke atas umat Islam dan keberkatan membawa kebaikan serta restu Ilahi. Amalan bersahur ini dapat membezakan puasa orang Islam dan juga puasa orang Nasrani dan Yahudi (ahli kitab). Ini disebutkan dalam sabda Rasulullah SAW:

“Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) dengan adanya makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim)

Tuntutan bersahur itu dapat dilihat lagi dalam hadis Rasulullah yang bermaksud:

“Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayar Ibnu Hibban)

Dalam hadis lain juga ada menyebut kelebihan orang yang bersahur seperti sabda Rasulullah SAW bermaksud :

“Sesungguhnya Allah dan malaikatnya mengucapkan selawat (berdoa dan memohon daripada Allah akan keampunan dan keredaan) ke atas orang yang bersahur.” (Hadis riwayat At-Tabrani)

Selain disunatkan bersahur, kita disunatkan untuk melewatkan waktu bersahur kerana amalan ini dilakukan oleh Rasulullah SAW dan juga sahabat. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sentiasa umatku dalam kebaikan selama mereka mahu bersegera berbuka puasanya dan mengakhirkan makan sahurnya.”

Penekanan Rasulullah SAW agar melewatkan makan sahur iaitu ketika menghampiri waktu Subuh dan tidak diabaikan amat signifikan kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian BBC News pada 7 Mac 2003 mendapati bahawa bersarapan pagi amat penting untuk memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain, ini kerana makanan paling utama dalam masa 24 jam kehidupan harian kita adalah sarapan pagi.

Kajian oleh Dr. Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian sama juga menunjukkan bahawa mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding mereka yang jarang bersarapan pagi.

Satu kajian oleh Dr. Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001 menunjukkan bahawa mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anaemia yang dikenali kekurangan haemoglobin dalam darah.

NUR SYAKIRAH DZURADEEN

Pelajar Fakulti 
Pengajian Bahasa Utama

Universiti Sains Islam Malaysia